Taksub komputer punca golongan muda hidap penyakit kornik

Uncategorized

Perubahan gaya hidup zaman moden apabila golongan muda kini lebih banyak menghabiskan masa duduk di depan komputer sehingga terabai kecergasan tubuh badan punca peningkatan penyakit kronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata perubahan gaya hidup itu merupakan punca besar yang menyumbang peningkatan penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dikalangan golongan muda berumur sekitar 18 hingga 40 tahun.

“Dua punca yang besar makanan tidak dikawal dan apa yang boleh dikatakan bukan makanan yang sihat. Kedua yang sering membelenggu golongan muda adalah kecergasan dalam kehidupan sudah kurang khususnya dengan budaya komputer.

“Dengan perubahan cara hidup ini memang membawa risiko. Sehubungan itu kerajaan bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan telah bekerjasama mewujudkan pelbagai inisiatif dalam memupukkan amalan budaya makan sihat,” katanya lagi.

Sehubungan itu jelas Subramaniam kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dalam memberi kesedaran bahayanya obesiti di kalangan golongan muda kerana ia mampu mengundang pelbagai penyakit berbahaya.

Berdasarkan statistik MHMS 2015 menganggarkan 9.2% atau 1 juta penduduk menghidap kencing manis, 14.7% atau 1.7 juta menghidap penyakit hipertensi bagi rakyat Malaysia yang berumur 18 hingga 40 tahun yang diklasifikasikan sebagai golongan muda.

“Selain daripada kumpulan itu juga anggaran bagi paras kolestrol lebih tinggi di dalam darah adalah 33% dan obesiti 14%.

“Disebabkan perkara-perkara ini kita nampak peningkatan kemasukan pesakit ke hospital dalam lingkungan umur ini adalah sebanyak 2 kali ganda dalam 4 tahun iaitu dari 2012 hingga 2016.

“Berdasarkan kajian trend ini meningkat setiap tahun berpunca peningkatan penyakit kronik daripada kurangnya amalan gaya hidup sihat, tidak jaga makanan, kurang bersenam, merokok dan perkara berkaitan,” katanya ketika soalan lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Tambah Subramaniam secara keseluruhan 47% rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan yang berlebihan dan ia merupakan satu isu perubatan yang sangat besar kerana ia mempunyai kaitan dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung.

Subramaniam yang juga Ahli Parlimen Segamat memaklumkan ketika ini kementeriannya ada membuat kempen besar-besaran untuk perkenalkan cara makanan sihat yang dipanggil ‘Suku-suku separuh’ iaitu separuh buah, sayur, bijiran, daging atau ikan.

Namun jelas beliau, budaya amalan makan lewat atau makan lebih tiga kali sehari menjadi punca peningkatan pelbagai penyakit di kalangan mereka.

Walau bagaimanapun Kementerian Kesihatan bersama NGO dan agensi terlibat tetap memainkan peranan mengadakan program dan kempen dalam membantu mengubah cara hidup rakyat Malaysia melalui pendidikan yang sewajarnya bermula dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat dewasa.