Zaid Ibrahim Bodoh dan Biadap – Noh Omar

Berita Nasional Selangor

Tan Sri Noh Omar hari ini membidas tindakan Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan titah Sultan Selangor yang murka dengan penghinaan kepada bangsa Bugis.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu menyifatkan kenyataan bekas menteri itu sebagai seorang pemimpin bukan sahaja bodoh bahkan biadap kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kami ingin melahirkan rasa terguris dan tercabar dengan kenyataan Zaid Ibrahim dalam Facebooknya yang meminta Sultan Selangor berhati-hati dengan titah tuanku bahawa tiada siapa kebal bila negara terbakar.

“Ini satu kenyataan betul-betul biadap dan kurang ajar kepada Sultan Selangor, sultan kami, sultan berdaulat, sultan adil dan sultan bijaksana,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

“Zaid ini dia kena tahu puncanya kenapa Sultan Selangor bertitah sedemikian, ialah kerana ucapan daripada Mahathir

“Sepatutnya Zaid kena beri amaran kepada Tun Mahathir, dia kena beritahu kepada Mahathir minta maaflah kepada Sultan Selangor, ini tidak.

“Orang yang menyebabkan rakyat Selangor marah menyebabkan orang Bugis marah, bukan sahaja Sultan Selangor murka tetapi kita lihat seluruh negara marah,” katanya.

Sehubungan itu, Noh bersama UMNO Selangor akan mengadakan himpunan bersama rakyat menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor.

“Kami akan mengadakan satu himpunan rakyat daulat tuanku yang menandakan rakyat Selangor berdiri teguh di belakang dan juga menyokong kenyataan yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

“Siapa saja yang memerintah Selangor payung kita adalah Sultan, jadi jangan cuba robekkan, jangan cuba nak ganggu payung kami, sultan kami yang memberikan kami naungan di Selangor,” katanya lagi.