Zahid bersama Tajuddin Hadir Beri Sokongan Kepada Najib

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta di sini berkata, kehadirannya bertujuan memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya datang sendiri, beliau bekas majikan saya, kawan saya. Awak ada kawan apa awak buat, bila kawan ada masalah?” katanya kepada media.

Menurut Tajuddin, sememangnya menjadi amalan budayanya untuk sentiasa memberi sokongan kepada kawan dalam keadaan apa sekali pun.

“Saya tidak tahu budaya awak, tapi budaya saya adalah begitu.

“Dalam apa keadaan, kita mesti tunjuk tanda simpati. Beliau belum didapati bersalah baru didakwa.

“Berilah ruang kepada beliau,” katanya.

Sementara itu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta bagi memberi sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Zahid yang baru-baru ini turut berhadapan dengan pertuduhan kes di mahkamah yang sama hadir bersendirian.

“Saya hendak pergi ke Parlimen dan datang beri sokongan moral

“Bukan sahaja sahabat tetapi memberi dokongan secara peribadi kepada kedua mereka,” kata kepada media.

Najib hari ini mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan pecah amanah yang dikenakan ke atas beliau bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.