Video: Azwan Ali Dedah Dendam, Kenapa Mahu Jahanamkan Azmin

Berita Nasional Selangor

Azwan Ali dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini sepakat untuk menumbangkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada PRU ke-14 nanti.

Adik kepada Azmin itu berkata, beliau akan bergandingan dengan Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkempen di kerusii yang bakal ditandingi Naib Presiden PKR itu.

“Aku lancarkan hastag #jahanamkanazminali. Aku akan pastikan dia tumbang di DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak, dia akan kalah pada pilihan raya akan datang,” tegas Azwan.

Azwan menyifatkan abang kandungnya itu sebagai seorang yang lupa daratan dan tidak mengenang kepada nasihat arwah bapanya dahulu supaya hormat kepada orang lebih tua walaupun dalam berpolitik.

“Dia lupa apa amanah arwah Haji Ali, orang sehebat Tan Sri Noh (Omar) pun dia nak lawan. Apa masalah dia, hormatlah sikit orang lama-lama.

“So kalau kau ingat kau menteri besar hebat sangat, biar aku jatuhkan, menteri lain tidak berani jatuhkan meh sini aku ni adik kau sendiri yang jatuhkan,” kata pengacara popular itu kepada  media di PWTC, pada Rabu.

Ditanya kenapa baru sekarang beliau menyatakan pendirian untuk menentang Azmin, beliau menjelaskan, masanya telah tiba selepas telah lama dirinya bersabar dan memendam rasa ekoran tindak tanduk abangnya itu yang disifatkan tidak mengenang budi.

“Kan aku dah kata, lima tahun aku bersabar, menyokongnya sehingga aku di banned RTM dan hilang banyak sumber rezeki, jadi apa yang aku dapat? Azmin langsung tidak mengenang jasa dan satu panggilan telefon pun aku tak pernah dapat daripadanya nak ucapkan terima kasih.

“Jadi biar adik dia sendiri yang membongkarkan rahsia dia yang selama ini banyak perkara dinafikan oleh dia. Nafi sana, nafi sini dan aku akan bongkarkan satu persatu rahsia dia,” jelasnya dalam keadaan sebak.

Azwan turut menafikan dibayar oleh mana-mana pihak dalam usahanya untuk melawan Azmin.

“Jangan ingat saya dapat dedak, saya dibayar juta-juta, itu tidak ada,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Jamal turut mengumumkan pelantikan Azwan sebagai wakil calonnya di Bukit Antarabangsa untuk melawan Azmin  di kawasan Dewan Undangan Negeri itu nanti.

“Terima kasih, hasrat saya untuk jadikan saudara diva atau Azwan Ali ini sebagai wakil calon untuk saya bertanding di Bukit Antarabangsa N19 akhirnya menjadi kenyataan dan beliau pun bersetuju selepas bincang jadi wakil calon saya.

“Beliau telah menunjukkan harapan supaya Bukit Antarabangsa dapat ditawan dan mengalahkan Azmin Ali disana, saya harap Azmin Ali jangan lari,” kata Jamal.