UMNO Umpama Pohon Rendang, Dibaling Batu Dan Kayu Namun Tetap Berbuah Manis

Berita Nasional

Datuk Seri Mohamad Hasan berpesan kepada ahli UMNO untuk menjadikan parti seperti pohon yang rendang dengan sentiasa mencurah bakti kepada segenap lapisan rakyat.

Timbalan Presiden UMNO berkata, pohon yang rendang itu bukan sahaja mampu menjatuhkan buah-buah yang manis tetapi juga menjadi tempat untuk masyarakat bernaung meluahkan segala hasrat dan masalah.

“Kita ini orang UMNO, pemimpin di sebalik mana pun, kita jadilah pohon yang rendang, pohon yang menaungi, menjadi tempat orang bernaung, menjadi tempat orang berteduh, tempat orang bersandar, tempat orang melepaskan dahaga dan makan buah-buahan bersama.

“Kita pastikan terus berkhidmat, parti gerakan khidmat bakti masyarakat, kita dengar masalah orang dan kita terus berbakti, biar buah kita ada itu dapat terus dinikmati orang dan masyarakat di luar sana.

“Jangan jadi pohon kelapa yang menjulang sendiri sahaja, kalau nak ambil buah pun, kena pakai beruk, tetapi jadilah pohon yang rendang, orang baling batu dan kayu, tetapi buah-buahan manis juga kita gugurkan untuk dimakan dan dinikmati oleh orang di mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di sini hari ini.

Mohamad turut menegaskan kekuatan UMNO akan sentiasa bertunjangkan kepada akar umbinya dan keahlian parti wajar diperluaskan lagi.

“Pokok tidak kuat di dahan, pokok tidak kuat di daun, pokok kuat di akar umbi, di akar umbi ini yang bekerja siang malam untuk dimakan dan diproses oleh daun.

“UMNO tidak kuat di PWTC, UMNO kuat di akar umbi, maka di akar umbi ini yang perlu kita perkasakan,” katanya.

Tambahnya lagi, UMNO tidak perlu membuang masa berdebat dengan pihak yang masih hendak mencaci maki parti kerana bermegah dengan kuasa yang dimiliki selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Kita usah buang masa berdebat dengan orang tengah megah, kita tunggu, kita simpan elok-elok, apa kita nak buat kita simpan, esok, bila keluar satu persatu, bila orang dah marah, orang dah muak, kita hentam cukup-cukup,” katanya merujuk kepada janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak dapat ditunaikan menyebabkan rakyat marah.

Selain itu katanya, ahli parti juga diingatkan supaya tidak memandang enteng soal hati orang Melayu.

“Melayu tidak susah dijaga hatinya, susah merajuk, tapi bila sudah merajuk, susah nak dipujuk. Jangan dipandang enteng soal hati mereka.

“Orang Melayu ni kalau dah suka dengan kita, kalau di kampung buat kenduri, waima masak lauk pisang muda pun dia datang, siap bawa lauk sendiri dari rumah

“Tapi usah tunggu sampai Melayu muak dan menyampah dengan kita. Kalau mereka sudah begitu, buat apa sekali pun, termasuk kenduri tujuh ekor unta pun dia tidak akan datang bahkan siap buat lawatan ke Langkawi, jadi jangan susahkan hati mereka,” katanya.

– BHOnline