UMNO Ditubuhkan Kerana Allah, Berjuang Kerana Allah – Annuar Musa

Berita Nasional

Parti keramat Umno ditubuhkan atas landasan perjuangan kerana ALLAH, dan bukan bermatlamat peribadi dan duniawi.

Oleh kerana itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan ahli UMNO agar memperbetulkan niat dan tujuan setiap ahli sepanjang berada dalam saf perjuangan parti.

“Insaflah, UMNO bukan ditubuhkan hanya sekadar penuhi kehendak pada sesiapa…. jauh sama sekali untuk penuhi aspirasi individu.

“Berbahagialah kita dalam saf UMNO. Dalam parti yang ditubuhkan berjuang kerana ALLAH”.

“Kita sematkan inilah penawar paling baik, kita ingatkan parti ini bukan parti projek, nak jadi wakil rakyat, bukan parti naik pangkat dan parti ini bukan parti nak BR1M, ini parti perjuangan kerana ALLAH,” katanya dalam Konvensyen Penerangan dan Media , Istiqamah dalam perjuangan di Dewan Tun Dr Ismail PWTC hari ini.

Justeru, Annuar menggesa ahli UMNO memperbaharui niat dan iktikad serta membawa roh perjuangan ini dalam parti.

“Inilah slogan terbaik kita, UMNO ditubuhkan kerana ALLAH,” laungannya.

Dalam pada itu tegasnya, UMNO bukan parti ‘biasa-biasa’.

“Kita bukan parti picisan, dan bukan lahir daripada pecahan parti lain.UMNO lahir dan terkandung dalam rahim negara bangsa.

“UMNO adalah sebuah parti lahir kerana agama bukan kerana individu, bukan kerana kecewa beri tempat kepada orang perseorangan, UMNO lahir sejak negara dijajah sekian lama,” katanya.