Suee Lim, sila tinggalkan Sekinchan – Jamal Yunos

Berita Selangor

Meskipun mengumumkan untuk tidak bertanding pada sebarang kerusi pada PRU ke-14, Datuk Seri Jamal Md Yunos tetap memberi amaran kepada penyandang ADUN DAP Sekinchan Ng Suee Lim untuk tidak mempertahankan kerusi berkenaan.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu menegaskan bahawa beliau akan berjuang bermati-matian memastikan semua DUN yang berada dibawah Parlimen Sungai Besar disapu bersih oleh Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

“Walaupun saya tidak bertanding nanti, saya nak beri amaran kepada Suee Lim supaya tinggalkan kerusi Sekinchan kalau tak nak tengok karier wakil rakyatnya berkubur.

“Pergilah cari kerusi yang dikatakan selamat untuknya dan DAP. Saya bersama jentera BN akan memastikan tiada parti musuh menang di dalam parlimen Sungai Besar,” katanya.

Beliau berkata kepada media ketika ditemui selepas selesai menghadiri Konvensyen Pemerkasaan Ummah 3.0 di PWTC Kuala Lumpur, Ahad.

Selain DUN Sekinchan, DUN Sungai Panjang yang disandang oleh wakil rakyat BN, Budiman Mohd Zohdi merupakan DUN di bawah Parlimen Sungai Besar.

Sementara itu mengulas ucapan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Jamal berkata, telah sampai masanya bagi semua ahli UMNO mengutamakan kejayaan parti dan melupakan kepentingan peribadi bagi memastikan BN mencapai kemenangan pada PRU akan datang.

Malah menurut Jamal, kerja keras Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangunkan negara dan membela nasib rakyat selama ini akan menjadi sia-sia jika ahli UMNO di peringkat bahagian atau cawangan bersengketa dan mensabotaj sesama sendiri menjelang PRU ke-14 ini.

“Saya tak kisah jika kenyataan saya ini tidak disukai dan dimarahi oleh ketua-ketua bahagian UMNO yang lain.

“Kita hendaklah berlapang dada jika kita tidak dicalonkan bertanding pada pilihan raya nanti.

“Janganlah kita marah sehingga memusnahkan parti kita sendiri, sepatutnya kita kena bersama-sama dengan parti, bersatu gerakkan jentera kita dan yang penting memastikan kejayaan UMNO dan BN pada pilihan raya nanti,” tegas Jamal.

Kenyataan Jamal itu ada benarnya kerana beliau telah membuktikan sebelum ini pada PRK Sungai Besar tahun lalu.

Walaupun beliau tidak dipilih sebagai calon untuk bertanding pada PRK tersebut, beliau telah mengenepikan kepentingan peribadi apabila berusaha keras, bertungkus lumus memastikan Budiman Mohd Zohdi memenangi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9191.