SPRM Sahkan Rosmah Ditahan, Akan Didakwa Esok

Berita Nasional

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan pengubahan wang haram setelah SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara.

SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, penahanan itu dibuat pada 3.20 petang di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

“Susulan (penahanan) itu, Rosmah akan menghadapi beberapa pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Rosmah akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Oktober 2018, jam 8 pagi untuk pertuduhan tersebut,” kata SPRM.

Rosmah tiba di ibu pejabat SPRM di sini pada 10.45 pagi ini untuk diambil keterangan buat kali ketiga.

Laporan media pada Selasa menyebut Rosmah perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pagi ini bagi membantu siasatan SPRM.

Beliau kali pertama hadir ke SPRM pada 5 Jun bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Sept lepas, Rosmah memberi keterangan kepada SPRM hampir 13 jam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

— BERNAMA