SPRM Geledah Rumah Mohd Irwan

Berita Nasional

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggeledah rumah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah di Presint 8, di sini kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mohd Irwan dibawa oleh sepasukan lima pegawai SPRM dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Sumber memaklumkan, sepasukan pegawai berkenaan tiba di rumah Mohd Irwan dipercayai untuk menggeledah bagi mendapatkan bukti mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat perlaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

Operasi geledah berkenaan berakhir 15 minit kemudian sebelum Mohd Irwan dibawa semula ke Ibu Pejabat SPRM.

Ketika keluar dari rumah Mohd Irwan, pegawai SPRM dilihat membawa satu beg bimbit dan dua pasang kot milik Mohd Irwan.

Pada masa sama, Mohd Irwan turut berkesempatan menemui isteri dan anak-anaknya termasuk mendukung cucunya ketika berada di rumah berkenaan.

Beberapa wartawan dan jurugambar turut berada di rumah Mohd Irwan untuk merakam sesi geledah itu namun, dihalang oleh ahli keluarganya.

Ahli keluarga Mohd Irwan juga meminta jurugambar supaya memadam gambar yang diambil di rumah berkenaan selain mengambil gambar kereta dan wajah jurugambar dan wartawan untuk simpanan.

Difahamkan, ahli keluarga Mohd Irwan berang dengan kehadiran wartawan dan jurugambar di rumah berkenaan kerana melanggar privasi.

Terdahulu, Mohd Irwan tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 3.25 petang tadi untuk disoal siasat berhubung 1MDB dan IPIC.

Sebelum itu, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut hadir di Ibu Pejabat SPRM untuk berdepan soal siasat kes sama.

Dalam pada itu, SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, SPRM mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Najib dan Mohd Irwan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, dalam kes berasingan, SPRM turut mendapat izin mendakwa terhadap bekas Ketua Pengarah, Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid berhubung isu pecah amanah membabitkan wang milik Kerajaan Malaysia berjumlah AS$12 juta (RM49.9 juta).

Hasanah akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari yang sama dan mengikut seksyen yang sama.