Sokongan pengundi bukan melayu, PAN yakin rampas 13 kerusi DUN Selangor – Husam

Berita Selangor

Parti Amanah Negara (PAN) yakin dapat merampas 13 kerusi DUN Selangor yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum yang lalu.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata kebanyakan kerusi yang dimenangi PAS itu adalah hasil sokongan pengundi dari pelbagai kaum, terutama masyarakat Cina dan India.

“PAS menang di Selangor atas sokongan pengundi bukan Melayu. Bila PAS khianati dan kembali kepompong keMelayuan dan Islamnya, menjadi tugas PAN untuk mengisi ruang kosong yang ditinggalkan PAS.

“Kalau tiga penjuru di 15 DUN itu berlaku, insya-Allah 13 daripadanya dimenangi PAN. PAS akan dapat undi tercorot. Contohnya boleh dilihat di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar,” katanya dalam wawancara “Terus Terang” anjuran Invoke Malaysia.

Pada 8 November lalu, PAS Selangor mengintai sekurang-kurangnya 42 kerusi DUN di negeri itu termasuk di kawasan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi, berkata PAS Selangor juga bersedia menghadapi pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.