SKIM SMUE – Sudah Janji Kenalah Beri

Berita Nasional Selangor

Kerajaan negeri Selangor digesa memberi penjelasan tentang tuntutan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) untuk warga emas di zon Teluk Datok, Teluk Panglima Garang yang bayarannya masih tertangguh.

Malah, penjelasan itu perlu diberikan bersama pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) DAP di kawasan berkenaan yang didakwa sering memberi alasan dan berdolak dalih kepada warga emas yang datang bertandang untuk menuntut hak mereka.

Pada sidang media yang diadakan oleh warga emas terlibat, rata-rata mereka yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan perkara itu dan menggesa agar kerajaan negeri atau pejabat DUN menunaikan janji dengan melangsaikan bayaran skim itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Baru Sungai Jarom, Tan Ching Hin berkata, beliau kesal dengan sikap kakitangan di pejabat DUN DAP di kawasan itu yang hanya memberikan jawapan ‘tunggu’ dan bermacam lagi terhadap warga emas yang datang menuntut bayaran melalui skim itu.

Katanya, adalah tidak wajar jika pejabat DUN berkenaan memberi alasan bahawa mereka masih tidak dapat peruntukan daripada kerajaan negeri walhal permohonan yang dibuat oleh penuntut telah lama dilakukan.

“Saya hairan bagaimana mereka (pejabat DUN) boleh memberikan alasan sebegitu. Apa yang saya tahu peruntukan itu ada tetapi ia seolah-olah mahu digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Tambah beliau, ramai penduduk kampung mengadu kepadanya perihal tersebut dan sebagai usaha bagi mendapatkan jawapan beberapa keping surat telah dihantar kepada menteri besar Selangor dan juga ke pejabat Exco kerajaan negeri.

Susulan daripada itu, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) ada memberi respon terhadap perkara berkenaan dan beberapa orang penuntut menerima separuh daripada bayaran tersebut.

Seorang warga emas Ho Hee Kwong, 62, berkata, dia kecewa dengan perkara itu dan menganggap kerajaan Selangor tidak menepati janji yang pernah ditabur pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Katanya, sudah hampir tiga kali dia pergi membuat tuntutan di pejabat DUN berkenaan namun seperti biasa kakitangan di situ memberikan alasan acuh tak acuh terhadap perkara itu.

“Dia (kerajaan negeri) sudah janji kenalah beri. Tidak perlu berikan macam-macam alasan, tiada duitlah dan sebagainya.

“Selangor ini negeri kaya, mana mereka boleh beri alasan semacam itu. Jika mereka (kerajaan negeri) boleh umum untuk beri peruntukan kepada rekyat sudah tentu mereka sebenarnya ada kemampuan, bukan cakap sahaja,” ujarnya.

Gan Soon Seng, 60, memberitahu, dia sudah tebal muka untuk datang bertandang ke pejabat DUN berkenaan lagi selepas tidak mendapat layanan daripada kakitangan pejabat itu.

Jelasnya, apa yang diharapkan adalah agar baki berjumlah RM1,500 dibayar dengan kadar segera sebelum PRU14.

Nasib sama dirasai oleh Ang Boon Lee, 56, apabila mendapat layanan yang hambar daripada kakitangan di pejabat DUN berkenaan setiap kali datang bertanyakan hal tersebut.

Katanya, kakitangan di pejabat itu seolah-olah sudah tahu akan kedatangannya dan pernah tidak layan apabila diluahkan hasrtnya itu.

“Mereka tidakpun membuat susulan terhadap apa yang saya adukan, sebaliknya hanya membuat hal sendiri tanpa mempedulikan saya sebagai pelanggan yang memerlukan khidmat daripada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata, setakat ini pihaknya belum berhasrat untuk membawa perkara tersebut ke pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sekiranya berlaku penyelewengan terhadap skim tersebut.

Ujarnya, meskipun mempunyai rasa curiga, namun beliau berharap agar pihak-pihak yang terlibat dapat menyelesaikan rungutan penduduk di kampungnya dengan segera.

“Walaupun saya ada rasa curiga, tetapi saya dan mereka (penuntut) hanya mahu agar janji itu dapat ditunaikan.

“Jangan cuba permainkan mereka yang dalam kesusahan. Wang yang sepatutnya diberi harus disampaikan dengan jujur.

“Jika mereka semua sudah senang tidak mungkin mereka membuat tuntutan itu. Tetapi ada yang datang berkali-kali dan mereka sememangnya mengharap ujarnya.

SMUE merupakan skim khairat kematian bernilai RM2,500 untuk warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang layak.

Ia merupakan salah satu daripada tujuh agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor menerusi fasa satu.

Skim itu dilancar pada Ogos 2008 dan aktif secara rasmi pada Oktober pada tahun sama.

Selain khairat kematian skim itu adalah sebagai menghargai warga emas, tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

Ia juga sebagai meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan urusan yang berkaitan dengan si mati, seperti pembayaran keseluruhan atas sebahagian kos pengurusan jenazah dan pengkebumian, menyelesaikan sebahagian atau keseluruhan hutang si mati, dan sebagainya.

MalaysiaGazette