Skandah Tanah Ijok : Kenapa Tak Lantik Firma Guaman Bebas – TS Noh

Berita Nasional Selangor

Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak Kerajaan Selangor yang diterajui PKR untuk melantik firma guaman bebas bagi menguruskan isu pampasan peneroka tanah di Ijok.

Pengerusinya Tan Sri Noh Omar berkata, Kerajaan Selangor perlu melantik pihak yang tidak mempunyai kaitan dengan politik bagi mengelak berlakunya rundingan berat sebelah dalam isu bayaran pampasan tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, menurut Noh, Kerajaan Selangor melantik firma guaman milik Ahli Parlimen Subang R.Sivarasa yang secara jelas telah mengeluarkan kenyataan menuduh UMNO memutar belit fakta untuk mendapat keuntungan politik.

“Memang bukan sesuatu yang salah apabila dia (Sivarasa) menjadi peguam dalam isu pampasan peneroka ini, tetapi dia perlu berlaku adil kepada peneroka,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan bantahan syor persempadanan semula kawasan pilihan raya di Selangor di Shah Alam, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noh turut mendakwa peneroka tanah tidak diberi maklumat tepat berhubung isu terbabit.

“Kalau peguam adalah seorang Ahli Parlimen PKR dan ketuanya juga pemimpin PKR (Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR), sudah tentu wujud keraguan dalam perkara ini,” katanya yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Semalam, Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To Choong, berkata keputusan Kerajaan Selangor melantik firma guaman Daim & Gamany yang mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin PKR sebagai wakil kepada peneroka, menimbulkan pelbagai persoalan yang masih gagal dijawab sehingga sekarang.

Choong turut membangkitkan persoalan sama ada firma guaman yang dilantik itu ada memaklumkan kepada semua peneroka bahawa tanah mereka akan dijual kepada dua syarikat pemaju terbabit dengan harga RM1.18 bilion, yang mana golongan berkenaan hanya mendapat RM300 juta, manakala bakinya adalah milik pemaju terbabit.