Semakin Ramai Ahli Parlimen UMNO Diugut, Giliran Siapa Selepas Ini?

Berita Nasional

STRATEGI ugut dengan pelbagai akta jenayah dan pujuk keluar parti terus diguna Pakatan Harapan (PH) untuk melemahkan serta ‘menguburkan’ parti pembangkang terbesar di Malaysia, UMNO.

Walaupun dinafikan oleh Tun M, hakikat perkara ini bukan cerita rekaan. Terbaharu Barisan Nasional (BN) Johor mengesahkan ada beberapa pemimpin mereka khususnya yang memegang kerusi Parlimen sedang dipujuk pihak terbabit untuk segera tinggalkan parti keramat Melayu terbesar di dunia itu.

Pengerusinya, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, sehingga kini dua pemimpin UMNO Johor telah menyatakan diri mereka dipujuk parti luar untuk berbuat demikian selain turut dijanjikan dengan pelbagai tawaran menarik.

“UMNO Johor setakat ini masih belum ada lagi yang mahu keluar parti, tetapi saya tahu ada kalangan ahli Parlimen kami yang sedang dipujuk serta mereka melakukan pertemuan secara rahsia. BN di sini ada lapan kerusi Parlimen.

“Tujuh kerusi milik UMNO dan hanya satu kerusi Parlimen milik MCA. Daripada kesemua ini, dua daripada mereka sedang dipujuk,” kata Hasni yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Beliau yang pernah dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri mesyuarat pertama Wanita UMNO Johor penggal kali ini, di Ibu Pejabat UMNO Johor di Johor Bahru semalam.

Pendedahan itu selari laporan eksklusif dibongkar penulis ternama, Raja Petra Kamaruddin dalam portal Malaysia Today sekitar Ogos lalu yang menyatakan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad ada ugut ramai wakil UMNO.

Bagaimanapun, Hasni berkata, dirinya telah berhubung dengan dua ahli Parlimen berkenaan dan mengesahkan mereka masih berpegang teguh kepada haluan parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

“Saya dah hubungi mereka, dan dimaklumkan yang mereka akan kekal dengan parti. Kita sedia tahu yang tindakan keluar parti seperti ini boleh memberi impak besar terhadap kelangsungan hidup parti pada masa hadapan.

“Jadi kami akan usahakan satu langkah yang sewajarnya, sekarang saya cuma harap supaya kepimpinan UMNO akan terus berpegang kepada prinsip dan ideologi perjuangan yang sering kita kenali sejak 1946,” tambah Hasni.

MT UMNO

Terdahulu, media tempatan melaporkan tular satu pesanan menerusi laman sosial dedah mengenai senarai 17 nama ahli Parlimen UMNO yang dikatakan kononnya akan bertindak secara tiba-tiba keluar daripada parti berkenaan.

Sebelum itu, dua pemimpin UMNO iaitu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar parti berkenaan.

Dalam pada itu, di Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusof, berkata ramai rakan ADUN dari negeri ini termasuk beliau didatangi pihak tertentu yang pujuk mereka supaya meninggalkan UMNO dan menyertai PH.

Bagaimanapun, katanya, cubaan pihak terbabit setakat ini gagal memujuk dua ahli Parlimen BN dari Terengganu iaitu Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

“Kedua-dua pemimpin ini antara yang didatangi PH supaya mereka menyertai parti itu, tetapi mereka menyatakan akan tetap kekal dalam UMNO walau apa yang terjadi,” kata Muhammad Pehimi di Kuala Terengganu semalam.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu berkata, Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad yang juga merupakan ADUN Hulu Besut antara yang turut disenarai kononnya akan menyertai PH.

Muhamad Pehimi yang juga ADUN Jertih berkata, walaupun didatangi pihak tertentu memintanya meninggalkan UMNO, beliau menolak pelawaan tersebut dan berjanji terus kekal dalam parti keramat UMNO.

“Saya ada maruah diri dan akan terus berkhidmat sebagai wakil UMNO walaupun negara dikuasai PH atau PAS,” katanya sambila mendakwa, ada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) melancarkan gerakan memujuk.

Berbanding ADUN daripada kalangan PAS, PPBM lebih menyasarkan khusus kepada wakil rakyat UMNO di negeri ini dengan dijadikan sasaran utama supaya segera meninggalkan parti dan kemudian menyertai mereka.

“Tetapi semua ADUN negeri ini tidak ada sebarang masalah dengan parti mahupun mempunyai rekod buruk sebagai alasan untuk meninggalkan parti. Tiada siapa boleh mengugut dan menekan kami untuk keluar UMNO.

“Malah, ahli di peringkat akar umbi masih teguh sokong kepemimpinan UMNO di peringkat bahagian, negeri dan Pusat kerana yakin pemimpin yang ada sekarang akan terus bela nasib mereka,” katanya.

– Agensi/Mynewshub.TV