Sabar Saya Ada Batasnya – Zahid Hamidi

Berita Nasional

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk meraikan sebarang perbezaan pendapat tetapi ia haruslah diikuti dengan tindakan yang betul.

Menurut Ahmad Zahid, tidak perlu menceritakan ‘hal dalam bilik’ di tepi jalan sebaliknya melakukan perbincangan dan perundingan adalah kaedah yang tepat untuk meluahkan perbezaan

“Kita harus berjiwa terbuka untuk menerima sebarang perubahan. Jangan mengkritik sebelum melihat, ketepikan sifat itu. Kita mahu hidupkan UMNO dan mahu menarik kepercayaan rakyat semula.

“Jika ada dikalangan ahli dalam ‘kapal’ yang menebuk lubang sehingga ia bocor, itu bukan perbedaan pendapat, tapi itu adalah pengkhianatan.

Sudah-sudahlah… bincang dengan berhemat dan bertatasusilaan,” katanya ketika menggulung ucapan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di PWTC pada Ahad.

Beliau turut menegaskan bahawa tahap kesabarannya ada had walaupun sentiasa meraikan perbezaan pendapat.

“Iya, saya meraikan perbezaan pendapat itu, tapi ini Zahid Hamidi, saya tidak akan noktah di situ. Anda tidak tahu biologi asid deoksiribonukleik (DNA) saya dalam perjuangan macam mana. Saya tidak mahu memperlihatkan warna sebenarnya.

“Kita perlu bersatu hati untuk melakukan sesuatu. Pintu saya sentiasa terbuka untuk meluahkan pendapat. Tidak perlu dapatkan tarikh temujanji untuk membuat lontaran berbeza. Pejabat saya di tingkat 38, PWTC sentiasa terbuka, datang bila-bila masa,” katanya.

Mantan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan sebak semasa menyanyikan lagu UMNO sebaik selesai mendengar ucapan penangguhan Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka PWTC.

Beliau turut menjadikan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai panduan yang mementingkan rundingan dan perbincangan untuk meraikan pendapat.

“Tawaran bukan sebagai nilai, saya tetap bersama UMNO. Saya tidak pernah tidak lakukan rundingan. Datuk Seri Najib mengajar saya sejak saya menjadi Setiausaha Politik sehingga menjadi Timbalannya, saya diajar untuk berunding, berbincang dan kuatkan hubungan,” katanya.

Semalam, bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mahu Ahmad Zahid jelas dalam membentangkan hala tuju parti sejajar dengan hasrat UMNO sebelum ini yang mahu membentuk kerajaan perpaduan bersama PAS dan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya tidak keliru. Tetapi kamu perlu jelas ke mana arah tuju parti,” katanya

– bnpportal.com