Rumah SelangorKu, Azmin ‘kencing’ rakyat

Berita Selangor

Pembinaan rumah mampu milik di bawah skim Rumah SelangorKu yang dijanjikan oleh kerajaan negeri Selangor sejak tahun 2008 didakwa hanya satu penipuan.

Menurut Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunus, melalui tinjauan yang dibuat oleh pihaknya di Semenyih tiada satu pun Rumah SelangorKu yang dibina di Eco Majestic, meskipun pihak kerajaan negeri mendakwa projek tersebut sudah sedia untuk proses penyerahan kunci.

“Beginilah cara Azmin Ali dan exco kerajaan negeri mengencing (menipu) rakyat negeri ini dengan projek Rumah SelangorKu.

“Di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, Iskandar Abdul Samad kata mereka ada buat (Rumah SelangorKu) di sini (Eco Semenyih) dan tinggal nak serah kunci sahaja.

“Inilah cara mereka menipu rakyat negeri ini”, katanya yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar dalam sidang media di hadapan pagar utama Eco Majestic, Semenyih.

Jamal juga memasang khemah dan memakai kain pelikat sambil berlakon tidur didalamnya sebagai simbolik protes pihaknya kepada kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Jamal juga turut mendakwa bahawa terdapat sekumpulan exco kerajaan negeri Selangor yang mendapat unit daripada projek mewah di Eco World Semenyih.

“Kita mendapat maklumat majoriti exco kerajaan negeri yang mendapat beberapa unit rumah di sini. Saya mahu tanya kepada Azmin, berapa unit mereka (exco) kerajaan negeri dapat rumah Eco World yang sepatutnya dibuat untuk rakyat Selangor?”

Justeru, Jamal akan membawa perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi menyiasat sekiranya berlaku unsur-unsur rasuah di kalangan exco kerajaan negeri.

“Kita akan bawa perkara ini kepada SPRM dalam masa terdekat. Sementara itu, kita akan kumpul dulu segala maklumat dan bukti-bukti untuk disertakan kepada SPRM,” katanya.

– MalaysiaGazette