PPBM Selangor, Umur Setahun Berlagak Bagai ‘Abang Long’

Berita Nasional Selangor

PPBM Selangor yang bercita-cita tinggi mahu bertanding di 12 kerusi Barisan Nasional (BN) dilihat sengaja mahu mahu menunjukkan kekuatan kepada PKR dan DAP meskipun baru berusia setahun jagung.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak walaubagaimanapun berkata, tidak kira siapa lawannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, BN Selangor tetap tekad untuk terus mempertahankan 12 kerusi yang menjadi perebutan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu.

“Dalam suasana nak pilihan raya ini, masing-masing merasa mereka ada kekuatan.

“PH ini pertamanya Bersatu (PPBM) dia parti baru, baru beberapa haripun ibaratnya tapi nak tunjuk kekuatan, kebolehan dengan DAP yang menjadi ketua mereka sebenarnya. Nak tunjuk kekuatan dengan PKR yang jauh lebih senior dari mereka.

“Kalau itu lah tujuan nak bertanding dan tubuhkan parti PPBM, jelas sekali tidak ada matlamat apa pun PPBM ini. Kita di BN boleh diterima siapa sahaja, memang kita 12 kerusi ini yang kita akan pertahankan sepenuhnya, kita tidak ada masalah. Sama ada nak bertanding dengan PPBM atau dengan PKR, atau dengan PAS sekali pun kita tidak ada halangan untuk bertanding dengan mana-mana sekalipun,” katanya kepada Antarapos hari ini.

Beliau mengulas berkenaan hasrat PPBM Selangor yang sekali lagi berkeras mahu bertanding di kesemua kerusi yang dimenangi BN di Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PPBM Selangor Datuk Abdul Rashid Asari, semalam.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PH Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata PPBM boleh meminta seberapa banyak bilangan kerusi DUN yang mereka mahukan untuk bertanding di Selangor pada PRU14.

Namun kata Xavier, PH menetapkan kriteria calon yang dipilih adalah berdasarkan faktor winnability atau ‘kemampuan untuk menang’ dalam memastikan PH terus kekal memerintah Selangor.

Jika diambil kira dari faktor berkenaan, PPBM mungkin tidak akan dapat meletakkan calon di semua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN di Selangor.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PPBM Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM memohon 12 kerusi milik BN untuk diletakkan calon mereka.

Bagaimanapun, katanya, pada masa sama, PKR juga turut berhasrat meletakkan calon mereka di semua kerusi terbabit, justeru katanya, PPBM tidak akan bertolak ansur malah mempertahankan permohonan berkenaan.

Dalam pada itu ujar Sulaiman, perebutan kerusi DUN di Selangor membabitkan parti komponen PH itu jelas mempamerkan tiada kesepakatan di antara mereka, sekaligus mampu memberi kelebihan kepada BN pada PRU akan datang.

Malah Sulaiman juga memaklumkan, pihaknya juga sudah mempersiapkan manifesto untuk memikat pengundi di Selangor yang kini berada di peringkat akhir sebelum ia dilancarkan.

“Dalam suasana macam ini, mereka nak rebut 12 kerusi ini dengan harapan mereka akan mudah kalahkan Umno lah barangkali. Tetapi mereka jangan ‘underrate’ Umno, jangan ambil mudah atau memandang rendah pada keupayaan kita.

“InsyaAllah kita (Umno-BN) akan bangkit untuk bukan kata untuk menang lebih banyak kerusi tetapi kemungkinan InsyaAllah kita akan jadi kerajaan kembali di Selangor,” ujarnya.

Sulaiman dalam masa yang sama turut menyelar gagasan pembangkang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu yang dilihat angkuh, sedangkan hakikatnya belum lagi secara rasmi didaftarkan sebagai satu entiti yang sah.

“Tidak ada pun dalam istilah Pakatan Harapan (PH) di RoS. Tidak wujud, tidak ada nama, tidak ada surat beranak sijil kelahiran. Maka tidak layak dipanggil ‘Pakatan Harapan’,” ujarnya sinis.