PKR, DAP Tamak Kerusi – PPBM Selangor

Berita Nasional Selangor

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Selangor kecewa kerana agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk parti itu masih belum dimuktamadkan, sedangkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) semakin hampir.

Ketua Penerangan PPBM negeri, Sallehuddin Amiruddin mendakwa kegagalan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan agihan kerusi DUN Selangor tersebut berpunca daripada sikap tamak PKR dan DAP yang ingin bertanding banyak kerusi.

Katanya, PPBM bertegas dengan pendirian untuk bertanding disemua 12 kerusi DUN yang ketika ini disandang Barisan Nasional (BN).

“Mesyuarat khas PH pada minggu lepas bagi membincangkan agihan kerusi DUN gagal mencapai kata putus. PPBM kecewa sehingga hari ini tidak tahu akan bertanding di DUN mana.

“PPBM pelik sikap PKR dan DAP kerana kedua-dua parti ini masing-masing telah ada 14 dan 15 kerusi DUN. Buat apa PKR dan DAP mahukan kerusi yang disandang BN lagi,” ujarnya kepada Watan Online.

Pada PRU-13, BN menang 12 kerusi iaitu DUN Sungai Burong, Jeram, Kuang, Semenyih, Permatang, Bukit Malawati, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali, Kota Damansara dan Dengkil.

PPBM Selangor turut menolak kenyataan Setiausaha PH negeri, Zuraida Kamarudin, yang berkata, mesyuarat khas pakatan pembangkang sudah berjaya menyelesaikan pengagihan 36 kerusi DUN di negeri ini.

Sebelum ini, PKR dikatakan mendominasi parti-parti lain dalam gagasan pakatan DAP, PAN dan DAP di Selangor dalam pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

PKR dikatakan akan bertanding di 19 daripada 56 kerusi DUN Selangor. Selain 14 kerusi DUN yang disandang PKR ketika ini, parti tersebut juga mahu tambahan kerusi Kuang, Sijangkang, Jeram, Permatang dan Hulu Bernam.

Manakala DAP yang menyandang 15 kerusi DUN pula meminta tambahan tiga kerusi yang menjadikan 18 kerusi keseluruhan.

Menurut sumber, pembahagian kerusi tersebut diminta PKR dan DAP dalam mesyuarat khas PH Selangor.

– WatanOnline