Pertuduhan Najib, Pihak Pendakwaan Akan Alami Mimpi Ngeri – Shafee

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Peguam bela bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Shafee Abdullah menjangkakan pasukan mereka secara mudah akan membalas hujah pendakwaan terhadap anak guamnya.

Sebaliknya tambah beliau pihak pendakwaan pula yang akan berhadapan dengan mimpi ngeri dalam kes ini.

“Apa yang boleh saya katakan ialah, saya fikir pihak peguam bela dalam kes ini akan bersenang-senang, (manakala) pendakwaan pula akan berdepan mimpi ngeri (nightmare),” katanya.

kepada media di lobi Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Najib hari ini dikenakan enam tuduhan pecah amanah membabitkan dana kerajaan di depan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azman Ahmad.

Turut dikenakan tuduhan sama ialah bekas ketua setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Pihak pendakwaan diketuai bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Tambah Shafee peguam bela Najib bersemangat untuk menghadiri perbicaraan yang ditetapkan pada 29 Nov ini kerana berpendapat tuduhan yang dibuat itu direka-reka oleh Pejabat Peguam Negara (AGC).

Jelasnya lagi semua enam tuduhan terhadap Najib hari ini pada dasarnya berkaitan isu kewangan yang disalurkan semula sebagai peruntukan spesifik yang lebih penting.

“Saya rasa tuduhan ini sengaja dibuat-buat dan saya fikir ia sangat bodoh.

“Semua tuduhan ini mempersoalkan keputusan eksekutif menteri kewangan dan ketua setiausaha kementerian kewangan,” katanya.

-suara.tv