Penstrukturan Semula Air – Azmin Perlu Buat Tawaran Kepada SPLASH

Berita Nasional Selangor

Kerajaan PKR Selangor digesa segera memuktamadkan proses penstrukturan semula industri bekalan air dengan membuat tawaran pengambilalihan kepada Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH).

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Maximus Maximus Ongkili berkata ia bagi terus menjamin bekalan air bersih untuk rakyat di negeri tersebut.

“Mereka harus membuat tawaran kepada SPLASH kerana ini merupakan perkara asas antara pembeli dan penjual. Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat tawaran kerana kita bertindak sebagai pemudah cara dan penyedia dana.

“Masalahnya sekarang setelah lebih dua tahun dan setelah tiga kali perjanjian tersebut ditangguhkan, tawaran untuk pengambilalihan itu masih belum dibuat,” katanya kepada media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) 2017 di Putrajaya hari ini

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali da-lam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor minggu lalu yang mendakwa Kerajaan Pusat menghalang Selangor membekal air terawat kepada pengguna.

Mohamed Azmin dalam sidang DUN itu, mendakwa Kerajaan Pusat membuat keputusan pada 20 Mac lalu untuk tidak membenarkan menyerahkan penyerahan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Ongkili berkata, isu tersebut timbul disebabkan tindakan Menteri Besar Selangor yang gemar berpolitik dan melewatkan proses penstrukturan semula industri tersebut.