Pengecualian SST Bukan Kaedah Terbaik Turunkan Harga Rumah – Noh Omar

Berita Nasional

Pengecualian SST bukan kaedah terbaik menurunkan harga rumah.

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkenaan kemungkinan kerajaan akan menarik balik pengecualian cukai jalan dan perkhidmatan (SST) yang dikenakan terhadap bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan sekiranya pemaju tidak menurunkan harga rumah seperti yang disiarkan oleh Malaysiakini.com di pautan https://www.malaysiakini.com/news/444410

Pertamanya kenyataan beliau dilihat seolah-olah cuba mengugut pemaju perumahan supaya harga rumah diturunkan atau berdepan tindakan drastik daripada kerajaan.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana faktor dalam mengurangkan harga rumah bukan hanya bergantung kepada pengecualian cukai SST semata-mata tetapi beberapa faktor lain yang juga penting. Kerajaan seharusnya melihat daripada pelbagai aspek sekiranya betul-betul berniat untuk membantu rakyat memiliki rumah.

Menteri Kewangan seharusnya tahu bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam penentuan harga rumah. Penentuan harga rumah bergantung kepada caj-caj yang dikenakan oleh kerajaan negeri kepada pemaju seperti caj pembangunan, caj pematuhan dan kos tanah.

Selain daripada faktor kos tanah, buruh dan pembinaan, harga rumah turut dipengaruhi oleh aktiviti spekulasi yang mengaut keuntungan daripada aktiviti jual beli hartanah. Kerajaan seharusnya mengambil berat dengan mengawal selia dengan lebih ketat aktiviti–aktiviti spekulasi. Dalam mengekang aktiviti spekulasi, Kerajaan BN dahulu telah mengambil langkah-langkah tertentu seperti:

a) Menaikkan kadar Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT)

b) Menaikkan harga jualan minimum rumah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada RM500,000 kepada RM1 Juta seunit

c) Mensyaratkan pemaju untuk mempamerkan ketelusan harga jualan hartanah secara terperinci termasuk semua manfaat / insentif yang bakal diberikan kepada pembeli;

d) Melarang pemaju melaksanakan kaedah pemasaran berasaskan Developer Interest Bearing Scheme (DIBS) mulai November 2013 bagi mengelakkan peningkatan kos jualan harga rumah dengan memasukkan kadar faedah tertunggak semasa pembinaan perumahan berkenaan.

e) Mewajibkan semua pemaju untuk melaporkan pembelian pukal yang melebihi 4 unit hartanah dalam satu pemajuan oleh mana-mana individu mahupun syarikat.

f) Bank Negara juga telah menetapkan pembelian rumah ketiga dan seterusnya pembeli hanya akan memperoleh pinjaman maksima 70% sahaja.

g) Melaksanakan Moratorium selama 10 tahun bagi projek-projek agensi kerajaan seperti Program Perumahan Rakyat (PPR), MyHome, MyDeposit, PR1MA, PPA1M dan sebagainya.

Saya menyarankan supaya kerajaan persekutuan mengarahkan Kerajaan-Kerajaan Negeri mengkaji semula dasar perumahan negeri dan kadar-kadar caj yang dikenakan kepada pemaju serta mempermudahkan proses kelulusan membangunkan projek perumahan yang boleh mempengaruhi kos rumah secara tidak langsung dan bukan hanya bergantung kepada pengecualian cukai.