Pemilihan PKR : Setiausaha Politik Rasuah Tawar Projek?

Berita Nasional

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa supaya menyiasat pembabitan pemimpin PKR yang juga seorang setiausaha politik menyalahgunakan kedudukannya bagi meraih sokongan dalam pemilihan parti itu.

Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab, berkata individu itu didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai penjawat awam dengan menawarkan projek pembangunan dan infrastruktur kepada beberapa pemimpin setempat pada 1 September lalu di Pahang.

Ahmad Syukri mendakwa beliau mempunyai bukti berhubung perkara itu melalui satu pemacu pena yang diterimanya oleh seorang pengadu.

“Didalamnya (pemacu pena) mengandungi gambar dan rakaman audio.

“Pemacu pena itu memaparkan maklumat mengenai mesyuarat yang dihadiri setiausaha politik berkenaan di Pahang pada 1 September lalu,” katanya di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyerahkan bukti dan laporan kepada SPRM berhubung penyelewengan itu.

Katanya, menerusi bukti yang diberikan itu, dia yakin gambar dan rakaman audio yang diberikan ada kaitan dengan setiausaha politik berkenaan.

Ahmad Syukri berkata, setiausaha politik terbabit dikatakan menawarkan kontrak pembangunan atau penambahbaikan infrastruktur bernilai RM20,000 kepada setiap pemimpin setempat yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Selain itu, beliau (setiausaha politik) turut memaklumkan kepada ahli mesyuarat bahawa beliau akan menerima peruntukan RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan sebelum hujung tahun ini. Justeru, beliau meminta supaya setiap pemimpin yang hadir membuat permohonan bagi mendapatkan kontrak terbabit.

“Saya berharap SPRM dapat menjalankan siasatan sewajarnya dan mengambil tindakan supaya ketelusan kerajaan sentiasa dipelihara.Sekiranya diperlukan saya bersedia dipanggil SPRM bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

– Wartawan Watan-Online