PASUKAN KHAS TANGKIS FITNAH PEMBANGKANG – NOH

Berita Selangor

Untuk menangkis fitnah yang tidak benar mengenai Barisan Nasional serta kerajaan Persekutuan yang disebar oleh pihak tidak bertanggungjawab, (BN) Selangor akan menubuhkan ‘pasukan khas media sosial’ bagi menangkis perkara tersebut.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata penubuhan pasukan itu bertujuan memastikan rakyat mendapat maklumat yang tepat serta tidak terpedaya dengan sebarang tohmahan pembangkang.

“Kita akan lancarkan pasukan media sosial ini dalam waktu terdekat, buat masa ini kita mempunyai 16 petugas yang akan memantau segala isu berkaitan parti dan kerajaan.

“Pasukan ini akan memberi penjelasan dan penerangan selain menangkis fitnah dan berita yang sengaja diputar belit pihak tertentu untuk menjatuhkan imej parti dan kerajaan,” katanya pada majlis bual bicara bersama pemimpin Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor di Shah Alam, malam Jumaat.

Turut hadir Pengerusi LPP, Datuk Zainal Dahlan dan bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mengingatkan pemimpin masyarakat supaya membuat penelitian terlebih dahulu ke atas sebarang maklumat yang diperolehi dalam semua medium.

“Ini kerana, kita tidak mahu penyebaran berita palsu dan fitnah yang memburukkan kerajaan serta Perdana Menteri semakin berleluasa,” kata Ahli Parlimen Tanjung Karang itu.