Pantun ‘Menteri Jangan Tipu’ Bikin LGE Panas Dan Sentap

Berita Nasional

Kuala Kumpur – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ‘berang’ dan ‘sentap’ apabila menerima pantun daripada Tan Sri Noh Omar yang dituju khas buat beliau.

Pantun Ahli Parlimen BN-Tanjong Karang itu dilontarkan ketika mengemukakan soalan kepada Guan Eng pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan sehingga menimbulkan kekecohan.

Bangun pagi terus bersenam,
Kaki sakit ubat disapu,
Soalan saya nombor enam,
Menteri jawab janganlah tipu.

Begitulah bait pantun yang dilantunkan oleh Noh Omar.

Susulan itu, Guan Eng meminta Noh supaya menarik balik pantun tersebut dan pada masa sama Abdullah Sani (PKR-Kapar) turut ‘menjerit’ menyifatkan pantun itu sebagai sangkaan jahat kepada menteri.

Hal ini menarik perhatian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang mengarahkan Noh menarik balik pantun itu kerana mempunyai andaian menteri akan menipu ketika memberi jawapan.

“Ini menimbulkan isu sangkaan jahat terhadap seorang Yang Berhormat. Tarik balik. Melalui pantun atau sebagainya, intipatinya adalah sangkaan jahat. Tarik balik Tanjong Karang,” tegas Mohamad Ariff.

Walaupun begitu, Noh tetap mempertahankan pantun yang dikemukakan dengan alasan ia sebagai peringatan kepada menteri supaya memberi jawapan yang berfakta dan tidak mengelirukan dewan.

Selepas berulang kali diasak dan diminta menarik balik oleh Mohamad Ariff, Noh akhirnya beliau menarik balik pantun berkenaan tetapi tetap berkeras mahu menteri memberi jawapan yang tidak mengelirukan dewan.

Dalam soalannya, Noh meminta Menteri Kewangan menyatakan perkembangan terkini perbincangan kerajaan dengan kerajaan China berkenaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan berapa kos keseluruhan dibelanjakan pemaju projek.