Notis ralat bukti Selangor cuai keluarkan Bajet 2018

Berita Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempersoalkan kecuaian Kerajaan Selangor berkaitan butiran yang dikeluarkan di dalam buku Anggaran Hasil Negeri Selangor 2018.

ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, berkata kesalahan membabitkan Butir-Butir Anggaran Bagi Tahun 2018, sepatutnya tidak berlaku terutama di dalam dokumen penting berkaitan perbelanjaan kerajaan negeri.

Katanya, disebabkan kesalahan itu, ketelusan dan kesahihan bajet untuk tahun hadapan boleh dipersoalkan.

“Ralat ini bukti prima facie, adanya ketidakcermatan dalam mengendalikan butiran Belanjawan Selangor 2018.

“Ini satu kesalahan yang tidak boleh diterima. Apabila sudah buat pembetulan, ia menimbulkan keraguan,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Pagi tadi, sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berlangsung, semua ADUN diedarkan notis ralat, surat pemakluman ralat dan jadual pembaharuan Butir-Butir Anggaran Hasil Bagi Tahun 2018.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Razak, berkata kesalahan yang tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan itu boleh menyebabkan Belanjawan Selangor 2018 tidak dilepaskan.

Katanya, berdasarkan Perkara 97, semua hasil Kerajaan Negeri perlu dimasukkan di dalam belanjawan.

“Apabila Batang Kali (ADUN) mempertikaikan perkara ini, baru Kerajaan Negeri membuat ralat. Persoalannya, adakah jumlah yang dimasukkan selepas ditegur itu adalah benar atau diletakkan semata-mata untuk menutup kesalahan,” katanya.

Berikutan itu, ADUN BN mengalu-alukan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat perkara berkenaan.

Semalam, Mat Nadzari ketika membahaskan Bajet Selangor 2018, menggesa Kerajaan Negeri mengisytiharkan jumlah peruntukan disalurkan kepada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) yang diterima sejak 2012 sehingga tahun ini.

Ia berikutan peruntukan akaun bukan hasil kerajaan negeri tidak merekodkan penerimaan wang MARRIS, sedangkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan itu setiap tahun.

Selangor dilaporkan menerima sebanyak RM416,971,395 pada 2012; RM498,033,994 (2013); RM523,486,773 (2014); RM468,774,527 (2015); RM496,900,998 (2016) dan RM546,591,098 (2017).