Najib Sokong Kajian Separuh Penggal RMK11 Dengan Bersyarat

Berita Nasional

Dokumen laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) mengesahkan bahawa hutang negara menyusut kepada RM686 bilion pada akhir 2017, bukannya meningkat seperti didakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dokumen kajian disediakan PH dan dibentangkan di Parlimen minggu lalu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga tidak langsung menyebut hutang negara adalah RM1 trilion seperti yang sering dimomokkan kepada rakyat.

“Laporan ini juga mengesahkan bahawa nisbah hutang kepada KDNK menyusut kepada 50.8 peratus. Menyusut, bukannya naik. Atau RM686 bilion pada akhir 2017. Tiada angka RM1 trilion, dalam dokumen rasmi PH ini tidak ada angka hutang RM1 trilion.

“Saya nak sebut di sini, antara sebab saya boleh sokong dokumen ini dengan bersyarat. Pertama, bahagian pertama dalam dokumen ini, menyatakan bahawa kadar pertumbuhan negara 2016 mencapai 4.2 peratus, pada tahun 2017 5.9 peratus.

“Ini disahkan oleh dokumen ini. Dan seperkara lagi, bahawa ramai tak tahu dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini iaitu 2011-2017, kadar pertumbuhan Malaysia mengatasi ekonomi empat harimau ekonomi di asia ini. Ini lebih tinggi daripada Korea, Taiwan, Singapura dan Hong Kong.

“Dan jika sekiranya ada pihak yang memomokkan bahawa kita ini berada di ambang negara muflis, bankrap, rakyat susah, ia dinafikan dengan fakta hakikat sebenarnya,” kata ahli Parlimen Pekan itu.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK11 di Dewan Rakyat, Selasa.

Menurutnya lagi, enam tonggak kajian yang terdapat dalam laporan tersebut semuanya adalah diusahakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Justeru itu katanya, dokumen yang dibentangkan Perdana Menteri itu bukanlah satu dokumen yang baru sebaliknya adalah kesinambungan terhadap inisiatif-inisiatif yang digerakkan oleh BN sebelum ini.

“Jadi dokumen ini bukanlah baru, tapi adalah kesinambungan apa yang kerajaan BN telah lakukan. Termasuk juga dari segi urus tadbir.

“Pada tahun 2010, kerajaan telah mencadangkan sistem dana politik yang telus. Tapi ditolak oleh pembangkang. Masa itu kita nak simpankan dalam rekod yang sistematik supaya tidak ada rasuah, penyelewengan kuasa dan sebagainya tetapi telah ditolak.

“Prinsipnya telah dimulakan oleh kerajaan BN tetapi telah ditolak oleh pembangkang ketika itu,” katanya.

– bnpportal.com