Misteri!!! Wang UMNO Dirampas Polis Tiba-Tiba Lesap?

Berita Nasional

LESAP… Harapkan pegar tapi pegar makan padi. Itulah perumpamaan yang paling sesuai digunakan untuk menggambarkan bagaimana wang puluhan juta dirampas tiba-tiba boleh hilang secara misteri begitu sahaja.

Justeru UMNO mula bertindak tegas menuntut ganti rugi RM43.3 juta daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan kehilangan wang milik parti itu ketika serbuan dan rampasan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Wang tunai berkenaan yang sebenarnya diguna untuk operasi harian parti itu termasuk ketika pilihan raya umum (PRU) ditemui PDRM di sebuah apartmen di Pavilion Residences, Jalan Raja Chulan, di ibu negara pada Jun lalu.

Media tempatan melaporkan bahawa tuntutan itu dibuat peguam UMNO menerusi permohonan yang terkandung dalam writ saman dan kemudian sudah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lalu.

UMNO mendakwa wang yang disimpan di apartmen milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah sebanyak RM160 juta, dan bukan hanya RM116.7 juta seperti diumumkan pihak polis pada sidang media.

Dalam writ berkenaan menerusi perenggan ke-12, UMNO menerusi Tetuan Scivetti & Associates menuntut PDRM membayar ganti rugi wang yang hilang itu. Parti itu mendakwa wang itu adalah baki dana untuk operasi PRU Ke-14.

Ia juga sebenarnya milik UMNO dan disimpan oleh Najib sebagai presiden parti sebagai mana tradisi kelaziman semua penyandang jawatan berkenaan bagi digunakan jentera politik dalam pelbagai program yang diatur.

“Dana RM160 juta adalah milik UMNO dan dipegang oleh Najib selaku pemegang amanah. Bagi memastikan keselamatan dana itu, Najib menyimpannya di sebuah apartmen di Pavilion Residences.

“Ia malah dengan dapat persetujuan pemilik premis iaitu OBYU Sdn Bhd dan hanya beliau (Najib) yang ada milikan eksklusif ke atas premis itu,” menurut writ itu. Ganti rugi tersebut adalah antara tuntutan UMNO kepada PDRM.

UMNO turut menuntut pemulangan semula RM116.7 yang disita oleh pihak polis selain ganti rugi terhadap hak untuk menggunakan dana tersebut sejak 17 Mei lalu di samping ganti rugi am, teruk dan teladan.

Dalam writ saman itu, UMNO selaku plaintif mendakwa mereka pemilik wang tunai RM160 juta berkenaan dan PDRM selaku defendan secara salah ganggu dengan sita secara tidak sah serta ambil alih pemilikan dana terbabit.

Plaintif mendakwa sudah menuntut pengembalian dana itu bagaimanapun defendan gagal, cuai dan enggan berbuat demikian. UMNO dalam saman itu menamakan beberapa individu dalam PDRM sebagai defendan kes tersebut.

Mereka ialah Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Sakri Arifin; Asisten Komisioner R Rajagopal daripada JSJK Bukit Aman; Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan kerajaan sebagai defendan.

Susulan penyerahan writ saman itu, semua defendan mempunyai tempoh 14 hari dari tarikh penyerahan terbabit untuk memasukkan kehadiran masing-masing.

Permohonan itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom, jam 9 pagi pada 15 Oktober ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, UMNO turut memohon deklarasi bahawa penggeledahan dan penyitaan yang dilakukan pada 17 Mei lalu di premis itu adalah salah di sisi undang-undang.

Sementara itu, usaha mendapatkan maklum balas daripada Mohamad Fuzi dan Amar Singh berhubung isu itu gagal berikutan kedua-duanya tidak membalas panggilan telefon.

– Agensi/Mynewshub.TV