Mengakui Tapi Dakwa Konspirasi Jahat Jatuhkan MB

Berita Nasional

Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangir, Yih Shao Loong mengakui salah seorang yang ditangkap adalah anak saudara Datuk Seri Azmin Ali.

Akan tetapi menyatakan bahawa penyebaran maklumat anak kakak kepada Azmin yang ditahan kerana terbabit aktiviti melombong pasir haram adalah konspirasi jahat.

Dalam satu kenyataan media, beliau berkata pihaknya kesal maklumat sedemikian tersebar secara meluas melalui media sosial dan kalangan penulis blog yang disifatkannya berniat jahat.

“Pentadbiran ini dimaklumkan bahawa salah seorang yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan terbabit dalam aktiviti perlombongan pasir haram adalah anak saudara Datuk Menteri Besar Selangor.

“Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger UMNO sebelum penahanan itu dilakukan, jelas menggambarkan wujudnya konspirasi jahat untuk memburukkan reputasi Datuk Menteri Besar dan Kerajaan Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Bagaimanapun, sekiranya proses siasatan dijalankan secara profesional dan telus, pentadbiran ini mengalu-alukan siasatan yang mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan,” katanya.

Shao Loong kemudian mengesahkan individu berkenaan adalah anak kepada kakak Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin yang berada di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), meninggalkan bangunan pentadbiran itu tanpa sempat ditemui media kira-kira jam 12.30 tengah hari.

SPRM hari ini mendapat perintah menahan reman tujuh hari Nuzul Fadli dan tiga yang lain bagi membantu siasatan kes tersebut.