Melayu di Selangor terhimpit, jangan ulangi kesilapan lalu – Mat Taib

Berita Selangor

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata masyarakat Melayu di Selangor kini semakin terhimpit ekoran kesilapan lalu memilih pembangkang menerajui negeri itu yang kini ‘dikuasai’ DAP.

Justeru itu beliau mengingatkan melayu di Selangor supaya tidak mengulangi kesilapan lalu dan jangan sesekali memberi undi pada parti yang bersekongkol dengan DAP.

Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib itu mendakwa, DAP bijak mengatur strategi kerana parti ditunjangi kaum Cina mempunyai kewangan yang kukuh untuk politik.

“Kalau kita benarkan DAP menjadi teras kerajaan di Selangor dan kemudian dapat Putrajaya dengan kekuatan kewangan yang ada mereka boleh beli siapa sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Hal Ehwal dan Isu Semasa; Halatuju Bajet 2018 TN50:Pendidikan, Ekonomi dan Kuasa Melayu di Kuala Lumpur petang Ahad.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Selangor, Mat Taib berkata, kehidupan orang Melayu semakin tersepit apabila kerajaan negeri sekarang ini tidak membantu secara keseluruhan terutama dalam isu perumahan.

Malah lebih gawat lagi apabila muncul masalah sosial seperti kes penyalahgunaan dadah, rumah urut, pelacuran, perjudian dan sebagainya yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

“Sekarang ni kalau nak pergi berurut tak perlu lagi pergi Hatyai, di Selangor ni saja dah ada banyak,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang berlaku di Selangor ketika ini tidak seperti pentadbiran Barisan Nasional (BN) semasa beliau menerajui negeri ini.