MB Selangor Pura-Pura Sakit Untuk Raih Simpati

Berita Nasional Selangor

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, menyindir Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa berpura-pura sakit belakang untuk meraih simpati.

Beliau mendakwa Menteri Besar Selangor itu cuba bermain persepsi simpati selepas satu persatu isu salah laku melibatkan pentadbiran kerajaan negeri dibongkar serta diketahui umum.

“Azmin wajar berhenti bermain persepsi simpati dan mengelirukan. Tidak cukup sakit pinggang tapi dibalutnya tengkuk sebaliknya berucap dengan kepala digeleng, tangan diangkat sambil terjerit-jerit, kamu nak raih simpati kononnya SPRM menyerbu pejabat Menteri Besar?

“Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain kamu boleh nampak dan ulas isu kapal sejauh jeti di Indonesia.

“Sikap kamu ibarat kuman di seberang laut nampak, gajah depan mata diam kerana terus membisu mengenai skandal tanah di Ijok,” katanya.

Badrul Hisham juga mempersoalkan ketelusan SPRM yang masih belum memulakan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan, walaupun pihaknya telah mengemukakan pelbagai bukti.

Beliau berkata antara isu rasuah melibatkan pentadbiran Azmin ialah dakwaan isu perlombongan pasir haram, penukaran status tanah di Paya Indah Wetlands daripada zon pertanian yang juga tapak Ramsar kepada pembangunan serta pembalakan haram di Selangor.

SAMM turut melaporkan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah melibatkan dua pemimpin PKR di Selangor berhubung pemberian tender Ekspo Raya Aidilfitri 2016 di Sungai Besar serta isu pembayaran oleh Menteri Besar Diperbadankan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi projek Universiti Selangor (UNISEL), walaupun gagal menyempurnakan kontrak sedia ada.

Terbaharu, skandal tanah di Ijok yang diberikan kepada dua syarikat pemaju dengan harga RM1.18 bilion.