Masyarakat Cina perlu bangkit dan celik dari diperbodohkan oleh DAP – Lian Hoe

Berita Nasional

Masyarakat Cina di negara ini diseru supaya ‘bangkit dan celik’ daripada terus membiarkan diri ‘diperbodohkan’ oleh DAP yang menggunakan isu perkauman tanpa melakukan apa-apa kebaikan untuk mereka.

Ketua Wanita Nasional GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe berkata, DAP secara berterusan telah menipu dan menghasut masyarakat Cina dengan menggunakan isu perkauman.

Beliau berkata, segala pembangunan negara yang sedang dan terus dibuat demi kesejahteraan rakyat menyebabkan pembangkang terutamanya DAP tidak senang.

“Sudah sampai masanya masyarakat Cina perlu celik, perlu sedar dan kembali ke pangkal jalan. Segala macam janji yang ditaburkan oleh mereka tidak dikotakan.

“Paling senang, selain fitnah mereka juga sering kali menyalahkan kerajaan pusat untuk semuannya.

“Cukuplah. Sudah dua penggal anda ditipu dan diperbodohkan bulat-bulat oleh mereka. Apa saja yang berlaku di Pulau Pinang wajar dijadikan sebagai pengajaran.

“Jangan lagi termakan dengan hasutan dan fitnah DAP, mereka bijak memutar belit fakta bagi menutup penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dengan cuba menghalalkan yang haram serta menuding jari kepada Gerakan dan MCA.

“DAP yang sebenarnya ‘running dog’ dan bukan MCA atau Gerakan. DAP yang pada hakikatnya menjual masyarakat Cina demi kuasa semata-mata,” katanya di Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Tambah Lian Hoe, DAP akan melakukan apa sahaja termasuk menghasut dan memperbodohkan rakyat terutamanya masyarakat Cina demi kegilaan kuasa tanpa had.

Beliau juga membidas kempen pembangkang kerana seringkali menggunakan isu perkauman dan agama sebagai umpan memancing undi bagi terus menanam kebencian rakyat.

“Cukup-cukuplah. Henti perbuatan yang tidak menghormati pada sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama demi kuasa politik,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Lian Hoe turut menyeru kepada keseluruhan komponen BN supaya bersatu dan saling bekerjasama bagi menghadapi PRU 14, sekali gus mencapai kejayaan lebih besar kali ini.

Menurutnya, antara yang paling penting adalah dengan meletakkan calon ‘boleh menang’ yang mempunyai kelayakan sebenar, ikhlas, telus, berintegriti selain berjiwa rakyat dan diterima di peringkat akar umbi.

“Bersatulah kita untuk membawa kemenangan, kejayaan serta kemajuaan dan kemakmuran negara demi rakyat dan generasi anak cucu cicit kita,” katanya