Mantan-mantan MB Selangor sepakat bantu UMNO/BN

Berita Selangor

Mantan-mantan menteri besar Selangor telah bersepakat untuk berganding bahu turun padang membantu calon-calon UMNO/Barisan Nasional (BN) di negeri itu bagi merampas semula pemerintahan dari pakatan harapan.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib memberitahu beliau bersama-sama Tan Sri Abu Hassan Omar, Dr Khir Toyo dan Tan Sri Khalid Ibrahim sudah bertemu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar bagi menyatakan pendirian masing-masing baru-baru ini.

“Kita bersedia untuk menjelajah ke pelusok negeri Selangor membantu calon-calon BN pada Pilihan Raya Umum nanti bagi menjelaskan pada rakyat tentang pengkhianatan yang dilakukan kerajaan Selangor sekarang”, katanya selepas berceramah di perkarangan pejabat ADUN Kuang malam Khamis.

Menurut Muhammad, Khalid akan bercakap pada pihak-pihak tertentu yang boleh mempengaruhi rakyat kerana sepanjang beliau (Khalid Ibrahim) menjadi MB ada yang masih setia pada beliau.

Muhammad seterusnya menyeru agar orang-orang Melayu di Selangor kembali memberi sokongan pada BN demi kelangsungan perjuangan bangsa Melayu.

“Hanya UMNO dan BN sahaja yang dapat mengembalikan kegemilangan kemajuan negeri ini dan seterusnya membela nasib orang Melayu yang dalam kedaifan”, ujarnya.

Tegas beliau lagi, kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali telah menunjukkan banyak kepincangan selain gagal membela nasib orang Melayu.

“5000 pusat urut tumbuh di Selangor… ia mengancam orang melayu. Macam mana orang Melayu mahu duduk dalam suasana macam ni, keluar rumah saja nampak pusat-pusat urut.

“Orang Melayu tidak boleh berada dalam suasana begini dan kenapa Menteri Besar tidak adakan konvensyen Melayu bandar, bincang soal kemiskinan di bandar, soal kepincahgan keluarga di bandar dan sebagainya, ” katanya malam tadi.

Turut hadir pada program itu Ketua Bahagian UMNO Selayang yang juga ADUN Kuang Datuk Abdul Shukor Idrus serta pemimpin sayap parti dan pemimpin parti komponen BN Selayang.