Malaysia Terus Rosak Jika Diserah Kepada Mahathir – PAS

Berita Nasional

PAS percaya negara akan semakin rosak sekiranya Tun Dr Mahathir Mohamad diberi peluang untuk kembali menerajui negara melalui kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki, berkata kerosakan yang dilakukan era pentadbiran Mahathir sehingga kini masih belum ‘dibersihkan’ sepenuhnya.

Malah, dua penggantinya terpaksa memperbetulkan kembali kesilapan yang dilakukan Mahathir.

“Kerosakan yang telah dibuat melalui dasar dan amalan semasa 22 tahun pemerintahan Mahathir, sehingga hari ini masih membebankan rakyat.

“Pelbagai usaha pembetulan semula telah dilakukan oleh dua Perdana Menteri selepas Mahathir juga oleh kerajaan-kerajaan negeri yang pernah dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihanraya Umum (PRU) tahun 2008, masih belum berupaya membaiki kerosakan tersebut.

“Oleh sebab itu, usaha Pakatan Harapan (PH) untuk menyerahkan semula mandat kepada Mahathir sekali lagi adalah sesuatu yang sukar diterima oleh mereka yang berfikiran waras. Selama 22 tahun pemerintahan Mahathir, beliau telah memperkenalkan dasar dan amalan pemerintahan yang merugikan negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Zuhdi berkata, ketika pemerintahannya, Mahathir telah melakukan pemusatan kuasa yang cukup jelas dengan menjadikan kuasa Perdana Menteri begitu besar sehingga berlaku campur tangan terhadap Institusi Kehakiman dan Legislatif.

Malah lebih daripada itu, beliau sebagai Perdana Menteri beliau telah berjaya menghakis kuasa Raja-raja Melayu melalui dua pindaan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada tahun 1983 dan 1993.

Beliau juga telah turut menghakis dasar dan amalan berkaitan dengan faderalisme sehingga melanggar perjanjian dengan kerajaan-kerajaan negeri seperti dalam isu yang berkaitan dengan royalti petroleum.

“Sekiranya Mahathir menjadi Perdana Menteri sekali lagi, diyakini beliau akan menjadi lebih ‘kuku besi’ dari sebelum ini. Dalam aspek ekonomi pula, Mahathir telah memperkenalkan dasar dan amalan yang banyak merugikan negara dan rakyat.

“Akibat dari dasar dan amalan tersebut menyebabkan rakyat menanggung bebannya sehingga hari ini, seperti kenaikan kos sara hidup, hutang isi rumah terus meningkat dan jurang kaya-miskin yang melebar,” katanya.

Salah satu dasar yang diperkenalkan oleh Mahathir yang semakin kelihatan kegagalannya ialah ‘Dasar Penswastaan’.

– watan-online