Laksana Skim Sewa Beli disemua PPR Jika BN perintah Selangor

Berita Selangor

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan melaksanakan ‘skim sewa beli’ di semua PPR di Selangor sekiranya BN menawan kembali negeri itu daripada tangan pembangkang.

Ketika mengumumkan perkara itu, menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata pelaksanaan skim itu turut meliputi PPR Hicom, Kota Damansara dan Serendah.

“Kita berhasrat memberikan rumah itu kepada rakyat melalui skim ‘sewa untuk dibeli’ sebagaimana yang dilaksanakan di PPR Lembah Subang 1 dan 2,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program cergas ceria sempena Hari Sukan Negara 2017 di Shah Alam, hari ini.

Tambah Noh yang juga Pengerusi BN Selangor, janji itu bakal terlaksana bagi membolehkan rakyat pendapatan rendah di negeri itu memiliki rumah sendiri.

“Saya lihat tidak cukup hanya sekadar melupuskan tunggakan sewa sahaja sebagaimana yang ingin dilaksanakan Kerajaan Selangor sehingga menyebabkan rakyat hidup sebagai penyewa,” katanya