Krisis Air Selangor : SPLASH Dedah Kerajaan Selangor Paksa Mereka Beroperasi Langkau Kemampuan

Berita Nasional Selangor

Letupan pada sistem mampatan udara di loji air Fasa 3 Sungai Selangor Bukit Badong awal bulan ini adalah berikutan tekanan terhadap penyambungan ekoran lebihan beban kepada sistem berkenaan.

Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui satu kenyataan hari ini berkata ia memiliki 10 pam di tapak berkenaan namun hanya lima pam yang diperlukan bagi menghasilkan air dirawat untuk kapasiti beban berlebihan.

“Sejak 2013, SPLASH telah menulis beberapa surat kepada kerajaan Selangor dengan mengutarakan loji rawatan air itu tidak dibina bagi beroperasi melangkaui beban sebagaimana direkabentuk dan bagi jangka masa panjang.

“Dengan berbuat demikian, ia akan menyebabkan kerosakan teruk kepada loji berkenaan. Ia juga berdepan risiko tinggi kepada gangguan tidak dijangka.

“Sehubungan itu, dakwaan bahawa empat lagi pam sedang diperbaiki ketika kejadian adalah tidak berkaitan dan tiada hubungkait dengan insiden atau operasi loji rawatan itu,” katanya kenyataan itu yang disiarkan akhbar New Straits Times.

Untuk rekod, Pakatan mengambilalih pentadbiran kerajaan Selangor pada 2008.

SPLASH berkata letupan kepada sistem mampatan itu berlaku ketika loji rawatan itu hendak memulakan operasi, berikutan penyempurnaan kerja pembaikan terhadap kerosakan kepada injap pengukur yang diselesaikan lebih awal dari jadual.

“Insiden itu menyebabkan kerosakan struktur yang teruk terhadap sistem mampatan udara. Kerja-kerja bagi baikpulih sangat kritikal yang turut memerlukan 50 kakitangan di tapak yang bekerja tanpa henti.

“Ia melibatkan penggunaan peralatan yang besar, dua kren, tiga mesin pengorek dan lapan alat kimpalan,” jelas SPLASH.

Ia menambah, SPLASH menyediakan kemaskini kepada pegawai terbabit termasuk dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd yang turut berada di tapak kejadian untuk memantau kerja-kerja pembaikan.

SPLASH turut mengutarakan mengenai kemungkinan gangguan bekalan elektrik ke loji rawatan SPLASH berikutan pengendali loji rawatan Sg Harmoni Sdn Bhd dan Gamuda Water Sdn Bhd telah diberi notis saman oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan kegagalan melunaskan bil elektrik berjumlah RM36 juta dan RM39 juta.

“Sebaik Air Selangor mengambil alih syarikat air SYABAS, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd pada 2016, SYABAS di bawah pentadbiran baharu bertindak mengurangkan bayaran kepada SPLASH kepada hanya 36 peratus sahaja.

“Pada peringkat itu, pengendali tidak lagi berupaya membayar bil TNB, bahan kimia dan lain-lain perbelanjaan. Sebelum pengambilalihan Air Selangor terhadap SYABAS, pengendali SPLASH masih berupaya untuk membuat kesemua bayaran bil TNB,” katanya.

Air Selangor adalah di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor di mana Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali adalah salah seorang pengarahnya.

Menurut SPLASH, syarikat itu berterusan didesak untuk memenuhi keupayaan bekalannya sehingga 110 peratus namun hanya menerima bayaran 36 peratus sahaja dari bil.

“Disebalik kesengsaraan ini berikutan masalah bayaran yang kronik, SPLASH sentiasa komited memastikan bekalan air tanpa gangguan.

“Apabila YB Hannah Yeoh dan YB Charles Santiago dengan cepat menuding jari kepada SPLASH, mereka jahil tentang keadaan sebenar.