Kerana JMB, 220 penduduk hilang rumah – Datuk Johan

Berita Selangor

Slogan peduli rakyat yang dilaung-laungkan Kerajaan Negeri Selangor hanya tinggal slogan apabila 220 unit pangsapuri Mutiara Sungai Jelok Kajang dirampas kerana tidak membayar cukai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz melahirkan rasa kesal apabila Kerajaan Selangor enggan menyelesaikannya tanpa memanggil badan pengurusan bersama pangsapuri (JMB) terbabit.

“Punca masalah ini ialah penghuni membayar caj yang dikenakan oleh JMB. Tapi hari ini saya lihat JMB terlepas, penghuni jadi mangsa. Duit ini saya tak tahu ke mana, saya tak tuduh.

“Saya difahamkan mereka (penduduk) membayar (caj), ada resit dan mereka ada buat laporan polis. Sebaliknya polis juga mungkin sukar mencari pihak JMB ini,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Johan berkata, lebih malang apabila pangsapuri kos rendah dan kos sederhana itu kini dirampas Kerajaan Negeri Selangor dan kini menjadi milik Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Penghuni tidak mengetahui MBI merampas tanah mereka sejak 2014. Pengambilan tanah ini tiada prosedur, tiada pendengaran awam.

“Bila tak bayar cukai mungkin ada notis. Notis ini mungkin diserahkan kepada JMB. JMB mungkin ambil notis tersebut dan simpan notis ini tapi ambil kutipan (cukai) daripada penduduk,” dakwanya.

Johan turut menyifatkan tindakan merampas pangsapuri yang sudah diselesaikan hutang pinjaman rumah itu sebagai satu penzaliman kerana Kerajaan Negeri Selangor membiarkan JMB yang lemah tadbir urusnya.

“Bagi saya ini satu kepincangan tadbir urus dan berlaku penzaliman kepada penduduk kawasan Pangsapuri Mutiara, Sungai Jelok.

“Sepatutnya dia dibimbing JMB ini tak betul, JMB kena tukar orang, dibela sebaliknya dirampas hak milik sedangkan dia sudah bayar.

“Bayar RM60,000 rumah kos sederhana dan RM20,000 kos rendah, semua dah selesai bayar, cuma pasal tidak bayar cukai tanah, tapi mereka bayar (penduduk),” katanya.

#bangkittawanselangor

– MalaysiaGazette