Kerajaan Negeri Selangor dayus halang langgan akhbar Utusan, BH – Budiman

Berita Selangor

Tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyekat kebebasan melanggan surat khabar arus perdana di jabatan, agensi dan anak syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor disifatkan sebagai dayus.

Demikian tegas Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi sambil berkata, arahan itu terkebelakang dan pernah dilakukan pemimpin terdahulu kerana ia menghalang daya pemikiran penjawat awam di negeri itu.

“Rakyat Malaysia hari ini termasuklah kakitangan agensi dan jabatan kerajaan Selangor tidak lagi tinggal di negara yang disekat akses media.

“Ia tidak seperti dilakukan Pengerusi Pakatan Harapan ketika 22 tahun pentadbirannya. Azmin Ali tidak perlu takut untuk menghadapi realiti kebebasan media ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu surat pekeliling surat pekeliling dengan kepala surat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, SUK Bil.2 Tahun 2017 bertarikh 9 November 2017 tular di media sosial hari ini.

Surat Pekeliling daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang ditular di media sosial, hari ini mengarahkan langganan surat khabar dari Kumpulan Utusan dan Berita Harian dihentikan serta-merta.

Surat kerajaan negeri setebal dua muka surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya itu mengarahkan pemberhentian langganan surat khabar dari Kumpulan Utusan dan Berita Harian.

Budiman juga berkata, walaupun surat tersebut adalah pekeliling peringatan berhubung arahan yang dibuat pada 2008, namun pentadbiran Azmin Ali tetap menafikan kebebasan memilih surat khabar di pasaran dan tidak bersikap terbuka.

“Rakyat kini boleh berfikir dengan waras dalam memberi pertimbangan wajar apabila menerima sesuatu berita.

Katanya, sekiranya dua akhbar berkenaan melakukan kesalahan daripada segi salah lapor, ia tidak sepatutnya disekat sebaliknya Azmin boleh mengambil tindakan undang-undang sahaja.

“Pihak berkepentingan dalam laporan media tersebut mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang jika terdapat salah laku yang melanggar integriti media,” katanya.

Sebaliknya surat itu mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri hanya melanggan tiga surat khabar iaitu Selangor Kini, Sinar Harian dan The Star.

Umum mengetahui ketiga-tiga akhbar terbabit banyak melaporkan aktiviti, perkembangan semasa dan kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini dan kini Pakatan Harapan (PH).

– MalaysiaGazette