‘Jangan lupa hari besar kita’ – Zahid Hamidi

Berita Nasional

Bahang tarikh pilihanraya umum sekali lagi menjadi hangat apabila Timbalan Perdana Menteri memberi bayangan bahawa ia bakal diadakan selepas Tahun Baharu Cina yang disambut pada pertengahan Februari depan.

Ini disebut Datuk Seri Zahid Hamidi dalam ucapannya ketika merasmikan Tokong Teoh Fu Kiong di Batu 12, Hutan Melintang, Perak, hari ini.

Beliau mengungkap perkataan ‘hari besar’ bagi merujuk kepada PRU-14 yang tarikhnya masih menjadi persoalan semua pihak.

“Jangan lupa hari besar kita akan sampai tidak lama lagi. Selepas Tahun Baharu Cina akan ada ‘hari besar’ lain.

“Kalau dulu sudah bikin silap, tak apa saya maafkan.Kalau boleh kali ini jangan bikin silap lagi ,” kata Timbalan Pengerusi BN itu.

Lebih 500 orang yang hadir, terdiri dari pada masyarakat Cina bersorak gembira selepas mendengar ucapan Zahid.

Tahun Baharu Cina dijangka disambut pada 16 dan 17 Februari depan.

Manakala tarikh luput mandat kerajaan Persekutuan BN adalah pada 24 Jun dan pilihanraya perlu diadakan secara automatik dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berkenaan.