“Jajan 3A” Bekalan Ampuh Untuk Menang Besar PRU

Berita Nasional

Jajan 3A menjadi resepi utama yang mampu membawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jajan 3A yang dimaksudkan beliau bagi mencapai kemenangan besar ialah, ‘action, action, action’.

“Jika saudara-saudari bertanya apakah yang perlu dibuat untuk menang besar? Dengarlah wahai semua pemimpin sayap dan ahli parti sekalian inilah masanya yang kita tunggu-tunggu! Resipi kemenangan yang paling ampuh harus kita kongsikan.

“Bekalan dan jajan untuk saudara-saudari bawa pulang telah disiapkan. Dengarlah baik-baik apa yang hendak saya perkatakan ini jajan 3 A.

“A yang pertama ialah: action, A yang kedua ialah: action! dan A yang ketiga: juga action. Apabila Datuk Seri Presiden memberi arahan action! kita terus menggerakkan jentera pilihan raya tanpa sebarang alasan,” katanya ketika berucap merasmikan pehimpunan agung UMNO sayap parti itu membabitkan, Wanita, Pemuda dan Puteri.

Ahmad Zahid berkata, dalam PRU-14 ini UMNO meletakkan matlamat besar dan bukan hanya ingin menang bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui Sistem First-Past-The-Post, sebaliknya ingin memperolehi penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan DUN dengan majoriti yang jauh lebih besar.

“Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud undi kepada pembentukan sebuah kerajaan persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

“Justeru, kita perlu memahami keperluan emosi kehendak dan citarasa “Madh’u” sebagai kumpulan sasaran kita…Kita perlu menang besar. Kita mesti utamakan parti. Justeru, ketepikan soal berkecil hati merajuk dan sabotaj parti kerana ia hanya akan melumpuhkan gerak kerja kita,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, UMNO amat berterima kasih di atas sokongan dan dokongan rakyat kepada perjuangan parti itu selama ini.

“Saya bagi pihak institusi kepresidenan dan parti, mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua. Keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu anda semua membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.,” katanya.