Isu tudung : DAP batuk saja, Azmin tak berani bertindak

Berita Selangor

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak mungkin berani bertindak terhadap pengusaha hotel di negeri itu yang mengamalkan diskriminasi pekerja terutamanya terhadap wanita bertudung.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan itu sukar diambil sekiranya ia tidak mendapat ‘restu’ daripada pemimpin DAP.

“Kalau nak bertindak nanti, baru nak bukak mulut saja, DAP batuk saja, Azmin tidak akan berani bertindak, sebab itu dia tidak akan bertindak.

“Saya pun dapat maklumat ada hotel di Selangor, jadi kita nak tengok sejauhmana keberanian kerajaan negeri bertindak menghalang amalan diskriminasi yang selama ini dilaungkan oleh pemimpin PKR dan DAP.

“Kalau kerajaan negeri kata tiada, nanti saya beritahu mana yang ada,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengarahkan PBT menarik balik lesen mana-mana hotel di negara ini jika didapati melarang pekerja wanita Islam bertudung bertugas di bahagian khidmat pelanggan hotel.

Ia susulan daripada pendedahan Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mengenai aduan kakitangan hotel kepada pusat itu berkaitan diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarah menanggalkan tudung.

Noh juga berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pengusaha hotel terbabit melainkan daripada PBT atau kerajaan negeri sendiri.

“Saya mengucapkan terima kasih, saya tengok ada beberapa negeri respon mengenai arahan untuk tarik lesen atau apa juga tindakan diambil kepada mana-mana hotel yang mengamalkan diskriminasi pekerja.

“Sebab itu saya telah minta supaya PBT dan kerajaan negeri ambil tindakan. Menteri Wilayah pun sudah keluarkan kenyataan akan ambil tindakan, Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Negeri Sembilan pun ada respon.

“Kita nak tunggu Kerajaan Negeri Selangor, apa respon daripada Kerajaan Negeri Selangor,” katanya lagi.

– MalaysiaGazette