Isu Tanah Sg.Yu : ADUN Permatang sedia jadi saksi SELCAT

Berita Selangor

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak bersedia untuk menjadi saksi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) bagi menyiasat dakwaannya berhubung skandal penyelewengan pemberian tanah di kawasan DUN-nya, Sungai Yu.

Malah katanya, beliau akan membantu SELCAT dengan memanggil beberapa orang saksi untuk mendedahkan tuduhan berkenaan.

“Saya bersedia, sebagai ahli SELCAT, kalau tidak ingin saya bersifat prejudis, saya tidak payah jadi panel SELCAT dan saya boleh jadi saksi kepada pendengaran awam ini.

“Biar jadi pendengaran awam, semua orang boleh dengar. Saksi boleh dipanggil, pejabat tanah daerah boleh dipanggil dan penduduk boleh dipanggil dan kita boleh dedahkan,” katanya kepada media di lobi DUN Selangor.

Terdahulu, pada Selasa, Sulaiman mendakwa kerajaan Selangor yang dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah memberi tanah kepada kroni menggunakan maklumat palsu.

Ujarnya, ia berdasarkan risikan yang dibuat pihaknya dimana seramai 18 penerima tanah kawasan Sungai Yu di DUN Permatang diberikan oleh kerajaan negeri menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah katanya, mereka yang telah diberikan tanah tersebut bukannya penduduk asal Selangor.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Sulaiman turut menjelaskan mengapa skandal tersebut tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melakukakan siasatan secara menyeluruh.

“Pada saya sekiranya saya membuat laporan polis lebih awal, SPRM lebih awal maka sudah tentulah akan ada sekatan di dalam dewan kerana sudah ada surat laporan polis atau SPRM dibuat oleh saya, maka sudah tentu pihak kerajaan akan mengahalang saya dari bercakap berkenaan hal ini kerana akan bersifat subjudi.

“Kerana ada dalam peraturan dewan menyebut sekiranya ada perkara-perkara yang telah dilaporkan kepada pihak berkuasa, pihak polis dan sebagainya maka tidak boleh dibahaskan di dalam dewan,” jelasnya.