INVOKE Kenapa Tak Siasat P. Pinang Dan Selangor

Berita Nasional

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dicabar menyiasat salahlaku kerajaan Pulau Pinang berhubung pemberian tender kepada penganjur Georgetown Festival.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata syarikat yang dilantik kerajaan diketuai DAP didakwa mendapat kontrak secara rundingan terus dengan kos sebanyak RM19 juta untuk tempoh lima tahun.

“Laporan Audit Negara 2016 mendapati anak syarikat milik kerajaan Pulau Pinang, Georgetown World Heritage Incorporated yang dipengerusikan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, terlebih bayar kepada kontraktor terbabit sebanyak RM500,000.

“Saya ingin bertanya fungsi sebenar Invoke. Rafizi mendakwa Invoke adalah badan bukan kerajaan yang tidak memihak dan akan membongkar salah laku mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, saya tidak melihat Rafizi dan Invoke membuat siasatan terhadap apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang mahu pun Selangor,” katanya.

Rahman berkata demikian selepas majlis penutup #ExpoNegaraku di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Pada masa sama Ahli Parlimen Belud itu akan memulakan tindakan perundangan dalam masa terdekat terhadap Rafizi dengan melantik peguam, Datuk M Reza Hassan daripada Tetuan Raja Riza & Associates.

“Saya harap beliau memohon maaf dalam sidang media kedua selepas membuat kesilapan besar dengan menabur fitnah pada sidang media pertamanya.

“Namun dengan sombong dan angkuh, Rafizi mengalu-alukan saman terhadapnya, justeru, tindakan saman adalah isyarat kepada Rafizi supaya cukuplah dengan pembohongan dilakukannya sebelum ini,” katanya.

Sebelum itu, Rafizi dilaporkan menuduh pemilik syarikat yang mengendalikan Expo Negaraku mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Rahman, bagaimanpun ia tidak benar.