Guna maklumat palsu, Kerajaan Selangor beri tanah pada kroni – Datuk Sulaiman

Berita Selangor

“Adun Permatang Sulaiman Abdul Razak berkata seramai 18 penerima tanah kawasan Sungai Yu di DUN Permatang menggunakan kad pengenalan palsu.”

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mendakwa kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Azmin Ali memberi tanah kepada kroni menggunakan maklumat palsu.

Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) berkata berdasarkan risikan yang dibuat pihaknya, seramai 18 penerima tanah kawasan Sungai Yu di DUN Permatang diberikan oleh kerajaan negeri menggunakan kad pengenalan palsu. Lebih menyedihkan mereka yang diberi tanah itu bukan penduduk asal Selangor.

“Saya amat kecewa, yang pertama daripada jumlah ini sebahagian besar yang terima bukan penduduk tempatan sebagaimana jawapan exco sebelum ini bahawa orang tempatan sepatutnya dapat hak milik tanah berkenan.

“Bukan 1km, 2km, tetapi 400km daripada kawasan yang mungkin dia pun tak pernah sampai. Ada dari Batu Kawan, Kuala Kangsar, Rembau, Masjid Tanah, Hulu Selangor. Saya amat kecewa.

“Jumlah yang diberikan oleh exco yang saya anggap daripada pihak kerajaan, saya kenal pasti ada beberapa perkara yang saya rasa amat kecewa. Lapan belas nama yang ada dalam senarai yang diberi dipalsukan butiran kad pengenalan.

“Saya anggap dipalsukan sebab saya buat semakan di Jabatan Pendaftaran Negara. Kad pengenalan yang diberi adalah kad pengenalan palsu,” katanya merujuk senarai nama penerima tanah yang didakwa didedahkan Exco Kemiskinan Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman pada sidang DUN yang lepas.

Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor, Sulaiman mendesak mana-mana wakil kerajaan selangor termasuk exco terlibat perlu dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) DUN Selangor kerana memberi maklumat palsu kepada Dewan.

“Dalam Dewan yang mulia ini barang siapa yang memberikan jawapan palsu ia sewajarnya dihadapkan ke JKHK kerana memberi jawapan dan maklumat palsu kepada Adun.

“Ini kesalahan yang sangat besar, memberikan kenyataan palsu dan memberikan maklumat palsu. Lapan belas nama kita tak dapat temui pun mereka ini, apakah ‘hantu’ ini pun dapat tanah. Berdasarkan nama, ada 2 ketua kampung PKR tetapi jawapan dalam dewan namanya dipalsukan dan saya tahu dia ketua kampung (kawasan saya).

“Saya juga minta kalau ada pegawai jabatan terlibat, saya nak minta kerajaan negeri ambil tindakan kerana memberi maklumat palsu.

“Kalau jawapan itu datang daripada exco saya nak minta exco itu dihadapkan ke JKHK dan saya secara peribadi sebagai Adun kawasan dah laksanakan tanggungjawab saya,” katanya.

Beliau menggesa Speaker Hannah Yeoh sebagai pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) membuat pendengaran awam terbuka berhubung skandal itu.

Sulaiman turut mendakwa kerajaan negeri memberi tanah tersebut kepada kroni sehingga mereka yang tidak berkelayakkan turut menerima inisiatif tersebut termasuklah yang berpangkat doktor dan guru.

“Saya sebut dalam dewan, 1 keluarga besar dapat. Isteri dapat, 4 adik-beradik dapat, anak 2 orang dapat, adik ipar pun dapat, besan pun dapat.
“Dua orang daripadanya adalah doktor, sepatutnya jawapan yang diberikan oleh exco dalam perbahasan lepas adalah mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah.

Doktor gaji lebih RM2,000 dan ada 2 kakitangan awam berpangkat pegawai dan guru, nama mereka saya akan dedahkan nanti cuma saya tunggu jawapan bertulis dahulu.

“Ada 1 lagi keluarga besar tapi saya tak dedahkan lagi, saya nak tunggu exco. Kalau betul saya akan dedahkannya atas dasar yang kononnya memperjuangkan hak, kebebasan dan keadilan sosial.

“Mana mungkin kleptokrasi bila dapat kuasa kerajaan Selangor mereka buat macam ini kepada kroni mereka,” katanya sambil memaklumkan seorang pegawai khas kepada Adun Kota Alam Shah turut tersenarai sebagai penerima tanah.