GPMS tubuh Gempur-14 bantu kekal kerajaan sedia ada

Berita Nasional

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas ke atas kumpulan pelampau dalam DAP.

Presidennya, Zambri Mohd Isa berkata, ada sesetengah pemimpin itu bersikap kurang ajar dan sewenang-wenangnya menghina orang Melayu, tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang.

Tanpa menamakan pemimpin DAP yang dianggap kurang ajar itu, Zambri berkata, sudah sampai masanya KDN bertindak tegas dan memantau setiap ucapan daripada pemimpin ekstrim terbabit.

“Mereka melakukan provokasi secara melampau. Mereka sengaja membangkitkan kemarahan orang Melayu dengan ucapan, kenyataan dan kata-kata berbaur penghinaan.

“Jadi, tidak mustahillah golongan ini yang mencetuskan tragedi berdarah 13 Mei 1969.

“Kita harap Menteri KDN mengambil tindakan tegas ke atas ekstrimis ini. Gunakanlah segala peruntukan undang-undang yang ada bagi membanteras golongan pelampau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-63 di Dewan Melawati, Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini.

Persidangan Agung Tahunan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dilaporkan mengeluar kenyataan berbaur perkauman dan hasutan dalam politik di negeri itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping dikatakan bertindak kurang ajar menggelarkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dengan perkataan yang tidak sepatutnya berhubung isu Anugerah BrandLaureate yang diterima Menteri Besar itu.

Menurut Zambri, bagi membantu UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kekal menjadi kerajaan Persekutuan, GPMS telah menubuhkan Gerakan Melayu Pilihan Raya Umum ke-14 (Gempur 14).

Katanya, semua kepimpinan dan ahli akar umbi GPMS di peringkat negeri, cawangan dan cawangan khas di seluruh negara akan turun berkempen untuk memenangkan kerajaan BN.

“Gempur 14 ini adalah untuk mempertahankan kuasa politik. Kita akan gempur memberi kesedaran kepada anak-anak muda.

“Kita tidak mahu orang Melayu dan kuasa Melayu hilang semata-mata perpecahan yang tidak menguntungkan. Kita akan pastikan Melayu terus berkuasa,” katanya.

– MalaysiaGazette