Ekspo Raya – Dua Pemimpin PKR Didakwa Salah Guna Kuasa

Berita Nasional Selangor

Nadi Rakyat Sungai Besar telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan rasuah melibatkan dua pemimpin PKR di Selangor.

Pengerusinya, Khairulnaem Abu Samah yang ditemui selepas selepas menyerahkan laporan mengenai entri blog Badrul Hisham menggesa SPRM agar menyiasat pemberian tender untuk menganjurkan Ekspo Raya Aidilfitri 2016 di Sungai Besar, Selangor.

Kata beliau lagi, pihaknya mempunyai bukti bahawa Ketua Cabang PKR Sungai Besar, Mohd Fauzi Ahmad dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Abu Talib Bujang terlibat dalam salah guna kuasa penganjuran ekspo tersebut.

“Perkara ini pernah didedahkan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, menerusi blognya, baru-baru ini.

“Rasuah jelas berlaku apabila Mohd Fauzi selaku Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) berada dalam mesyuarat yang meluluskan projek berkenaan kepada syarikat yang mempunyai kepentingan keluarganya,ujarnya.

“Selain itu, Abu Talib selaku Ahli Majlis (Pelesenan) MDSB juga jelas menerima suapan bagi menyokong syarikat berkepentingan Mohd Fauzi untuk memperoleh projek berkenaan,”.

Khairulnaem turut mendakwa penganjur terpaksa membayar rasuah untuk mendapatkan kelulusan daripada PBT terlibat.

Pada 5 Febuari lepas, Badrul Hisham menerusi entri blog chegubard.blogspot.my mendakwa perbuatan rasuah itu berlaku ketika Mohd Fauzi dan Abu Talib menjadi Ahli Majlis MDSB.

Beliau mendakwa Mohd Fauzi yang berada dalam mesyuarat majlis itu meluluskan syarikat Ligat Bina Enterprise yang mempunyai kepentingannya untuk mengendalikan Ekspo Raya dan Bazar Ramadan MDSB 2016.

Selain itu, Mohd Fauzi juga didakwa membayar RM10,000 kepada Abu Talib sebagai habuan untuk membantu meluluskan projek berkenaan.