Demi Kepentingan Rakyat Selangor Khalid Ibrahim Setuju Kerjasama Dengan BN

Berita Nasional Selangor

“Saya masih bergerak sebagai ahli politik bebas kerana saya rasa ada baiknya saya bebas kerana saya dapati dengan kebebasan itu orang Selangor tidak agak khuatir tentang tujuan saya”.

Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menegaskan dirinya lebih selesa bergerak secara bebas dan tidak mempunyai sebarang parti, malah mengisytiharkan rakyat Selangor merupakan ahli parti kepada diri beliau.

“Setakat ini saya tidak mempunyai parti, bagi saya parti saya adalah rakyat Selangor sendiri,” katanya kepada media selepas menghadiri Konvesyen Tertutup UMNO Selangor di PWTC, Sabtu.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Muhammad Mohamad Taib.

Kemunculan bekas Menteri Besar Selangor itu pada program tersebut telah mengejutkan hadirin yang hadir dan menimbulkan persoalan adakah beliau akan menyertai UMNO.

Mengulas lebih lanjut Khalid menjelaskan, beliau bertekad untuk membantu parti yang ikhlas membangunkan dan menjalankan amanah dengan telus untuk rakyat Selangor.

“Sebab itu saya bersedia untuk bekerja dengan Barisan Nasional (BN) Selangor. Sesiapa sahaja yang berusaha membangunkan Selangor dengan telus dan amanah saya akan bantu demi kepentingan rakyat selangor.

“Dengan adanya perjumpaan saya dengan Tan Sri Noh Omar dan Tan Sri Mat Taib, mereka sedia terima kerana inilah yang terbaik untuk rakyat Selangor.

“Saya akan guna pengalaman dan kemesraan saya dengan rakyat Selangor supaya merek dapat memilih parti mana yg boleh menerajui selangor dengan baik dan berguna kepada semua,” jelasnya.