DAP berjaya mendoktrin dakyah kedalam kerajaan Selangor

Berita Selangor

DAP telah berjaya mendoktrin dakyahnya ke dalam pentadbiran Kerajaan Selangor yang diterajui PKR.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan membidas tindakan Kerajaan Selangor yang tunduk pada DAP lalu menyekat masyarakat di negeri itu mendapat informasi daripada media arus perdana.

Menurutnya, tindakan itu amat bertentangan dengan prinsip Pakatan Harapan (PH) yang selama ini lantang memperjuangkan hak kebebasan bersuara.

“Saya nampak seolah-olah kerajaan negeri yang sangat dipengaruhi oleh dasar-dasar DAP, cuba melakukan doktrin baru kepada masyarakat dengan menyekat kedatangan informasi daripada media yang tidak bersama mereka.

“Mereka tidak berlaku adil, dan saya percaya DAP telah berjaya meletakkan kerajaan negeri mengikut telunjuknya. Inilah dasar-dasar tertutup DAP yang telah berjaya didoktrinkan dalam kerajaan negeri,” selarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh BNBBC.my portal, ketika diminta mengulas langkah Kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melarang jabatan dan agensi kerajaan negeri melanggan akhbar daripada kumpulan Utusan dan Berita Harian sejak 9 November lalu.

Tambah ADUN Batang Kali itu, tindakan yang serupa tidak pernah diambil oleh Kerajaan Persekutuan BN terhadap media yang dikatakan mesra pembangkang.

“Tindakan itu melulu,tidak berfikir panjang dan bergerak kebelakang. Kita seharusnya lebih terbuka, berlapang dada serta sentiasa memandang kehadapan.

“Seperti ada sesuatu yang mereka cuba selindungkan daripada pengetahuan rakyat, selama ini BN tidak pernah sekat Malaysiakini, surat khabar Selangorku.

“Begitu juga media berbentuk kepartian seperti Roketkini (DAP) dan Harakahdaily (PAS), BN tidak pernah menyekat kebebasan mereka untuk mengeluarkan surat khabar mereka terutama kepada ahli-ahli parti berdasarkan permit mereka,” ujar Mat Nadzari.