Chegubard dakwa Azmin sendiri lulus projek kontroversi Taman Melawati

Berita Nasional

Kelulusan projek pusat konvensyen di Taman Melawati yang mencetuskan kontroversi dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri, dakwa Badrul Hisham Shaharin.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, tapak pusat konvensyen itu pada asalnya dijanjikan pembinaan taman rekreasi penduduk tetapi disebabkan oleh satu surat ‘pen emas’ menyebabkan tiba-tiba ditukar dan tanpa pengetahuan penduduk setempat.

“Kenapa semua ini berlaku? Kita punya maklumat, dia adalah berpunca daripada minit pen emas pejabat MB (Menteri Besar).

“Itu sebab semua prosedur dia langgar, kamu boleh fikir kalau watak-watak ini memerintah Malaysia, dia kata prosedur, dia kata kita kena itu dan ini tetapi akhirnya di tempat kamu sendiri kamu telah langgar dan musnahkan undang-undang itu hanya kerana ego politik kamu,” kata Badrul semasa melawat ke tapak projek pusat konvensyen yang terletak di tapak pusat khidmat Azmin hari ini.

Penduduk hanya mengetahui mengenai cadangan pembinaan pusat konvensyen berkeluasan 3.37 ekar itu pada Mei lalu walhal dalam pelan asal oleh Sime Darby Sdn Bhd ia sepatutnya dibina taman rekreasi.

Selain itu, Badrul juga mempertikaikan pembinaan pusat konvensyen di tapak tersebut kerana hasil semakan mendapati lot tersebut masih merupakan kawasan hijau dan perancangan pembinaan taman rekreasi masih wujud.

“Menggunakan ‘orang dalam’ MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dimaklumkan dalam peta Rancangan Tempatan MPAJ (pengubahan 2) kawasan lot 19189 dan 19022 masih merupakan kawasan hijau dan perancangan taman rekreasi masih ada.

“Maknanya telah berlaku sesuatu yang salah kerana satu tender pembangunan telah dibuka di kawasan yang masih bertanda hijau,” katanya.

Badrul juga menyifatkan tender yang dibuka itu adalah ‘tender haram’ dan ia merupakan satu kesalahan besar.

“Soalnya kini tender yang dipanggil itu adalah ‘tender haram’, menjadi satu kesalahan di mana kawasan hijau dibuka tender untuk pembangunan dan lebih teruk kesalahan itu dibuat oleh PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Zon ABC, Taman Melawati, Razman Hakimi Abdullah yang ditemui berkata, usaha untuk bertemu Mohamed Azmin bagi mendapatkan penjelasan berhubung pembinaan pusat konvesyen itu gagal.

“Saya sudah hantar surat beberapa kali kepada pejabat Azmin dan pusat khidmatnya tapi tidak ada sebarang maklum balas,” katanya.

Razman sebelum ini juga sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober lalu supaya menyiasat projek pusat konvensyen itu.

– MalaysiaGazette