Calon PRU14, Dengar Denyut Nadi Rakyat – Mat Taib

Berita Nasional

UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor boleh merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini jika pucuk pimpinan meletakkan calon yang disukai rakyat dan berbau sedap seperti minyak wangi.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, bagi memastikan ia menjadi kenyataan, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berani membuat ketetapan itu walaupun beliau akan berdepan dengan pelbagai kritikan terutama daripada golongan yang beranggapan mereka layak menjadi calon.

Katanya, pucuk pimpinan harus memenuhi kehendak rakyat yang berkehendakkan pemimpin benar-benar berkhidmat untuk menjaga kebajikan mereka, selain bijaksana, mempunyai semangat juang yang tinggi dan berwawasan.

“UMNO dan BN kini sedang menuju ke arah persiapan PRU 14. Saya nampak pemimpin, tidak kira di peringkat bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen begitu asyik mencari sokongan rakyat serta pengundi di merata tempat.

“Pucuk pimpinan boleh saja mengekalkan yang sedia ada, tetapi mereka juga harus mengambil kira kehendak di peringkat akar umbi yang berkehendakkan pemimpin yang benar-benar membela nasib mereka.

Tapi kalau letak calon yang sebelum bertanding sudah kalah dari segi moral, kenapa nak letakkan juga bertanding,” katanya pada majlis Mesra Bersama Media di Bangunan UMNO Selangor di sini, hari ini.

Dalam soal jawab bersama wartawan, Muhammad berkata, Najib perlu berani mengenepikan calon yang tidak mempunyai imej baik kerana UMNO dan BN akan berdepan dengan calon Pakatan Harapan (HP) yang tentunya lebih profesional dan berwibawa.

Ujar beliau, jika UMNO dan BN meletakkan calon lekeh, sudah tentu harapan dan usaha untuk melihat kemenangan tidak akan tercapai.

“Kalau nak letak Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda atau Ketua Puteri sekalipun sebagai calon, mereka mestikan yang majoriti rakyat di kawasan itu suka.

“Letak calon sama seperti nak masuk bertanding ratu cantik. Takkan kita nak hantar calon kementot. Mestilah kita letakkan calon yang terbaik dari semua segi,” katanya.

Muhammad turut menjelaskan, antara faktor kekalahan BN Selangor pada PRU tahun 2008 disebabkan pemimpinnya dijentik atau didedahkan keangkuhannya oleh tentera media sosial upahan pembangkang mahupun dari penyokong sendiri.

Padahal kata beliau, selepas Pakatan Rakyat (PR) yang kemudian ditukar kepada PH ambil alih dari tahun 2008 sehingga kini tidak ada satu pembangunan atau perkara baru dibuat mereka, melainkan semua yang dinikmati rakyat sehingga kini adalah hasil kerajaan BN terdahulu.

“Antara yang kita nampak berlaku perubahan mendadak bawah PH ialah kemunculan kira-kira 9,000 pusat urut di Lembah Kelang yang mempengaruhi jiwa dan minda anak remaja.

“Aktiviti pelacuran juga menunjukkan peningkatan, selain gejala dadah dan hiburan tidak terkawal. Inilah kejayaan kerajaan PH. Untuk pembangunan ihsan, tidak ada. Yang ada adalah dari kita, UMNO dan BN,” ujar beliau.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya dengan gejala sosial melibatkan golongan muda yang sukar dikawal berikutan kegagalan kerajaan sekarang menanganinya.

Sehubungan itu, menurut Muhammad, beliau bercadang akan bertemu dengan Najib untuk menyatakan pandangan itu secara peribadi agar kriteria pemilihan calon UMNO dan BN pada PRU14 ini lebih ketat.

Beliau juga bimbang jika masih ada lagi calon yang dua atau tiga kali kalah PRU sebelum ini akan melobi pucuk pimpinan untuk bertanding lagi dan rayuan itu diterima.

– MalaysiaGazette