Bunuh karakter PM: Jentera UMNO diingat jangan mengalah

Berita Nasional

Jentera UMNO diingatkan tidak berputus asa dengan serangan politik khususnya gerakan pembunuhan karakter yang dilakukan pembangkang terhadap Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sekiranya gerakan itu dibiarkan, kelak akan menenggelamkan rekod prestasi dan pencapaian perdana menteri dalam memacu negara ke arah lebih baik di mata dunia.

“Kenapa mahu tenggelamkan realiti ini semata-mata banyaknya polemik tidak bermoral dan berakhlak rendah termasuk cuba memberikan label-label yang buruk serta tidak setimpal.

“Jadi kita tidak mahu jentera UMNO mengalah kepada gerakan fitnah ini. Kita tak boleh mengalah kepada perilaku-perilaku buruk sedemikian.

“Mereka panggil nama, melabelkan presiden dan perdana menteri dengan pelbagai gelaran jelik dan buruk sedangkan karakter sebenarnya itu cuba ditenggelamkan,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 dan persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Annuar berkata, melalui galeri pameran sempena PAU 2017 di PWTC pada Disember ini diharapkan dapat membantu membetulkan persepsi negatif dan fitnah pembangkang terhadap perdana menteri.

“Kedudukan dan tahap pencapaian perdana menteri cukup tinggi dalam sejarah negara kita, mengangkat kedudukan hubungan diplomatik jauh lebih tinggi dari zaman sebelum ini dan menjaga kedudukan ekonomi dalam suasana global tidak menentu.

“Melalui pameran ini, kita beri peluang kepada jurugambar-jurugambar profesional termasuk media yang telah berjaya merakam detik-detik mempamerkan hati nurani dan jiwa sebenar Perdana Menteri selaku Presiden,” katanya.

Katanya, walaupun pembangkang cuba memainkan politik perkauman dengan pelbagai tomahan, namun perdana menteri berjaya mengekalkan kesejateraan rakyat di negara ini.

“Kita berada dalam sebuah negara yang aman sejahtera, masyarakat pelbagai kaum yang cuba digodak pelbagai hasutan dan situasi politik perkauman dan sebagainya.

“Tapi perdana menteri telah dapat memandu arah pemimpin negara agar kekal aman bersatu padu di bawah konsep Barisan Nasional,” katanya.

– MalaysiaGazette.