Bayaran haji kekal RM9,980 – TH

Berita Nasional

 

KUALA LUMPUR – Bayaran haji RM9,980 bagi musim haji 2018M/1439H dikekalkan walaupun kos sebenar haji meningkat 15 peratus kepada RM22,450 berbanding RM19,550 pada musim haji yang lepas.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Johan Abdullah berkata subsidi haji yang akan diberi kepada seorang jemaah haji muassasah kali pertama ialah RM12,470 iaitu 56 peratus daripada kos haji.

”Jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980 iaitu 44 peratus daripada kos haji,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata TH dijangka menanggung subsidi haji hampir RM400 juta yang merupakan tanggungjawab sosial korporat terbesar TH bagi mendukung aspirasi kerajaan untuk mengimbangi keunggulan duniawi dan ukhrawi.

TH menarik perhatian bahawa bayaran haji itu merupakan kadar paling rendah di Asia Tenggara dengan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan secara percuma oleh TH semasa jemaah menunaikan ibadah haji.

– BERNAMA